Cub Prix Jalin Kerjasama Dengan KBS
Program pembangunan sukan permotoran negara dirancakkan dengan jalinan kerjasama di antara pihak promoter Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2017 bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan tumpuan terhadap kategori Wira KBS bermula pusingan pembukaan di Temerloh, Pahang pada 4 dan 5 Mac ini.
“Kami mengalu-alukan kerjasama dan penglibatan KBS bersama Kejuaraan Cub Prix pada tahun ini dan berharap dengan jalinan kerjasama ini akan dapat membantu kepada pembangunan pelumba motosikal di Malaysia secara berterusan. Kategori Wira selama ini menjadi pemangkin yang merubah seluruh industri perlumbaan motosikal apabila sejak mula diperkenal pada tahun 2002, bakat-bakat di usia belasan tahun dapat dicungkil dan purata umur pelumba Cub Prix dapat dikurangkan dengan penyertaan pelumba seawal usia 13 tahun,” jelas Ron Hogg, Pengarah Safe Aim Mutual Sdn Bhd.
Antara pelumba terkemuka yang pernah beraksi dalam kategori Wira termasuklah pemenang dua perlumbaan Moto3, Khairul Idham Pawi dan juara SuperSports 600cc Asia yang juga bekas pelumba Moto2 negara, Azlan Shah Kamaruzaman.
Walau bagaimanapun, Ron menegaskan tidak ada peraturan khusus yang ditetapkan dalam perjalanan dan pembangunan karier pelumba. “Kelas Wira selalunya merupakan kategori buat pelumba belasan tahun yang belum bersedia atau belum menyerlah bakat mereka untuk ke peringkat lebih tinggi. Ia sebagai langkah pertama untuk menceburkan diri dalam perlumbaan terbuka.”
“Pelumba seperti Khairul Idham, selepas beraksi dalam kategori Wira, dia terus menyertai perlumbaan antarabangsa tanpa beraksi dalam kelas lebih tinggi di peringkat kebangsaan manakala Hafizh Syahrin Abdullah pula terus melangkau ke kelas CP115 tanpa beraksi dalam kelas Wira terlebih dahulu. Namun tidak diragui kelas Wira memainkan peranan penting sebagai medan untuk mencungkil bakat sukann permotoran negara,” jelas Ron.
Pusingan 1 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS akan berlangsung di Temerloh, Pahang pada 4 dan 5 Mac 2017.
No Comment