Infiniti Project Black S – Kereta Sport Diinspirasikan oleh F1
Selepas gagal merealisasikan kereta konsep berprestasi tinggi Q50 Eau Rouge dua tahun lalu, Infiniti kini kembali dengan projek terbaru mereka yang bertujuan meneroka potensi teknologi F1 bagi penggunaan di atas jalan raya.
Dikenali sebagai Project Black S, kereta konsep yang berasaskan model Q60 ini merupakan hasil kerjasama antara pasukan Formula One Renault Sport dan Infiniti yang sudah terjalin sejak 2011. Antara peranan Infiniti adalah untuk membangunkan sistem pemulihan tenaga (Energy Recovery System, ERS) menggunakan pengetahuan mereka dalam bidang hibrid.
Project Black S akan menampilkan ERS yang dipadankan dengan enjin dwi-turbo 3.0-liter V6. Gabungan ini dikatakan dapat menghasilkan peningkatkan kuasa sehingga 25 peratus, menurut para jurutera Infiniti.
Di dalam konteks F1, ERS menggunakan dua unit penjana motor (MGU) dan pek bateri untuk mengumpul, menyimpan dan mengitar semula tenaga elektrik. ERS yang digunakan oleh pasukan Formula One Renault Sport menampilkan unit MGU-K untuk mengumpul tenaga dari brek serta unit MGU-H yang dipasang pada pengecas turbo untuk mengumpul tenaga haba dari gas ekzos.
Tenaga yang dikumpulkan oleh kedua-dua MGU seterusnya akan disimpan di dalam pek bateri lithium-ion dan akan digunakan bagi memutarkan crankshaft dan pengecas turbo dengan lebih cepat. Selain daripada ERS, Infiniti juga menggunakan sistem ekzos titanium serta casis yang dipertingkatkan bagi prestasi maksimum.
Dari aspek rekaan, Project Black S menggunakan pelbagai komponen yang diperbuat daripada gentian karbon bagi tujuan mengurangkan berat termasuk splitter hadapan, diffuser belakang, gerbang roda, skirt sisi serta spoiler belakang. Lubang ambilan udara yang besar membantu menyejukkan enjin dan brek, manakala rim aluminium aloi 21-inci bukan sahaja menambah kestabilan, malah mencantikkan lagi kereta konsep tersebut.
No Comment