Harley-Davidson Street Rod 750 Janjikan Prestasi Urban Dinamik
Harley-Davidson telah memperkenalkan Street Rod 750, ahli terbaru barisan model Street. Dikatakan tangkas dan berkuasa, motosikal ini menampilkan enjin Revolution X 750 dengan casis yang dipertingkatkan dan suspensi baharu.
Turut digunakan pada model Street 750, enjin 750 cc silinder V berkembar tersebut kini menghasilkan 18 peratus lebih horsepower serta 8 peratus lebih tork hasil dari penggunaan beberapa komponen yang dipertingkatkan termasuk kotak udara lebih besar, badan pendikit, kepala silinder, aci sesondol tinggi dan peredam. Nisbah mampatan meningkat dari 11.0: 1 ke 12.0: 1, manakala tahap redline enjin juga lebih tinggi dari 8,000 hingga 9,000 rpm.
“Kami telah meningkatkan aliran udara dan menala enjin baharu ini untuk memaksimumkan tork pertengahan,” kata Mathew Weber, Ketua Jurutera Harley-Davidson.
Casisnya dibangunkan khas bagi menampung kuasa yang dihasilkan oleh enjin tersebut. Bahagian depan Street Rod 750 menampilkan fork terbalik bersaiz 43 mm dengan pengapit aluminium yang berada pada kedudukan 27 darjah untuk pengendalian yang lebih tangkas. Di belakang pula, motosikal ini mempunyai swingarm (dipanjangkan bagi menampung tempat duduk yang lebih tinggi), serta penyerap hentak dengan perjalanan 4.6 inci.
Sistem suspensinya dipadankan dengan roda 17 inci yang dibalut tayar Michelin Scorcher 21, serta brek cakera berkembar 300 mm. ABS, serta sistem keselamatan pintar Harley-Davidson ditawarkan secara pilihan.
Tempat duduk Street Rod 750 didatangkan dalam bentuk baharu dan kedudukannya juga dinaikkan sebanyak 3.7 inci, memberikan penunggang pandangan yang lebih jelas. Bar hendal rata yang bergaya digunakan untuk posisi membongkok ke hadapan, manakala tempat letak kaki aluminium berada pada kedudukan yang selesa bagi penunggang.
Street Rod 750 tampil dengan bahagian ekor lebih agresif yang menampilkan lampu belakang dan lampu isyarat LED, serta skrin hadapan dalam warna yang sama dengan badan. Ia ditawarkan dalam tiga warna iaitu Vivid Black, Charcoal Denim dan Olive Gold. Barisan aksesori Dark Custom turut disediakan bagi pelanggan yang mahukan gaya tersendiri.
No Comment