Boon Siew Honda Memperkenalkan Wave 125i
Boon Siew Honda secara rasminya telah melancarkan Honda Wave 125i baharu. Produk premium terbaru syarikat itu dikatakan menawarkan pengalaman menunggang yang selesa serta kecekapan bahan api.
Dengan slogan “A Class of Your Own”, kapcai baharu itu menampilkan rekaan terkini yang pastinya menonjol di dalam trafik. Selain daripada logo 3D, Wave 125i juga didatangkan dengan panel instrumen baharu yang senang dibaca walau di bawah sinaran terik matahari dan juga lampu belakang yang direka semula.
Menguasakan Wave 125i adalah enjin 124.9 cc, silinder tunggal dengan Programmed Fuel Injection (PGM-Fi) dan transmisi empat kelajuan. Dengan kuasa berjumlah 9 hp pada 7,500 rpm dan 10 Nm pada 5,500 rpm, kapcai ini juga diklasifikasikan sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) oleh Jabatan Pengangkutan Jalanraya (JPJ).
Menurut Boon Siew Honda lagi, tawaran terbarunya yang mempunyai tangki minyak sebesar 5.4 liter boleh ditunggang sehingga 300 km sebelum perlu mengisi minyak.
Untuk kemudahan penunggang, Wave 125i juga dilengkapi dengan ruang simpanan sebesar 18 liter yang mampu memuatkan sebuah topi keledar bertutup muka penuh. Tempat duduk yang besar juga menjanjikan keselesaan, terutamanya pada mereka yang sering melakukan perjalanan jarak jauh.
Wave 125i baharu ditawarkan dalam tiga warna iaitu Candy Scintillate Red, Pearl Nightfall Blue dan Sword Silver Metallic. Harga (selepas GST, tidak termasuk cukai jalan, insurans, dan pendaftaran) bermula dari RM6,263.54 bagi versi brek cakera tunggal dan RM6,549.74 bagi versi brek dwi cakera.
Model ini juga didatangkan dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000 km, serta jaminan lanjutan selama setahun atau 10,000 km untuk enjinnya.
No Comment