Pandu Uji

Pandu Uji: Peugeot 208 1.2 PureTech

Untuk sekian lamanya, industri automotif percaya bahawa prestasi dan kuasa yang dihasilkan oleh sesebuah enjin bergantung rapat kepada kapasiti dan bilangan silindernya. Bak kata orang Barat, “the bigger, the better”. Namun dengan peredaran masa dan teknologi yang semakin berkembang, pengeluar-pengeluar kenderaan telah menemui cara yang lebih berkesan untuk menjana lebih banyak kuasa iaitu dengan mengecilkan saiz enjin dan menggunakan pengecas turbo.

BHP-Harmony-in-Performance_DSF_Banner-Malay_650x85_201606101

Trend ini mula berkembang sejak beberapa tahun dahulu dan ia diikuti oleh banyak jenama terkemuka dunia seperti Ford, Kia, Fiat, dan juga jenama-jenama premium seperti BMW dan Porsche. Walaupun lebih kecil, enjin turbo ini mampu menghasilkan kuasa kuda dan tork yang sama atau lebih tinggi jika dibandingkan dengan enjin ‘naturally aspirated’ yang lebih besar.

Peugeot 208 PureTech Review 05

Peugeot merupakan salah satu pengeluar yang mengikuti trend tersebut dan di Malaysia, di mana ia diwakili oleh Nasim Sdn Bhd, enjin turbo berkapasiti kecil yang dikenali sebagai PureTech milik jenama itu ditawarkan menerusi dua model iaitu 208 dan 2008. Kedua-duanya dilancarkan pada awal tahun ini sebagai model ‘facelift’.

Peugeot 208 PureTech Review 23

Pasangan PureTech ini dikuasakan oleh nadi yang sama iaitu enjin turbo 1.2-liter tiga silinder yang menghasilkan 112 PS dan 205 Nm tork. Walaupun jumlah kuasanya sedikit lebih rendah berbanding dengan unit VTi 1.6-liter empat silinder sebelum ini, jumlah tork yang dihamburkan meningkat sebanyak 45 Nm dan ia dijana jauh lebih awal iaitu pada 1,500 rpm. Ini memberikannya kelebihan dari segi pecutan dari kedudukan pegun.

Peugeot 208 PureTech Review 22

Menurut Peugeot, 208 PureTech mampu mencapai tahap penggunaan bahan api serendah 4.2 liter bagi setiap 100 km dengan adanya bantuan daripada teknologi Auto Start Stop yang dikatakan dapat menghidupkan enjin 40% lebih pantas dari sebelumnya. Ditambah dengan tangki sebesar 50 liter, hatchback ini secara teorinya mampu bergerak sejauh 1,190 km atau dari Pulau Pinang ke Singapura tanpa perlu mengisi minyak.

Peugeot 208 PureTech Review 21

Dari aspek reka bentuk, perubahan yang diberikan tidaklah begitu ketara. 208 PureTech menampilkan rekaan bampar hadapan baharu dengan jeriji yang lebih besar manakala di bahagian belakangnya pula terdapat lampu LED dengan efek cakaran 3D yang mengingatkan penulis pada watak Wolverine. Melengkapkan imejnya adalah rim 16-inci dwi tona yang dibalut tayar Michelin Energy Saver.

Peugeot 208 PureTech Review 09

Begitu juga dengan kabinnya yang diberi jolokan ‘i-Cockpit’, di mana pembaharuan terhad kepada kemasan bercorak gentian karbon pada papan pemuka dan reka bentuk tempat duduk baharu yang lebih selesa. Senarai kelengkapan terdiri daripada ciri-ciri seperti skrin sesentuh pelbagai fungsi bersaiz 7 inci, sistem audio Arkamys 3D dengan enam pembesar suara, penghawa dingin dwi zon serta kemasan kulit untuk stereng.

Peugeot 208 PureTech Review 17

Walaupun kelihatan kecil, 208 mempunyai ruang yang cukup untuk memuatkan sehingga lima orang penumpang, termasuk pemandu. Asalkan anda tidak mempunyai ketinggian seperti atlet bola keranjang NBA, duduk di kerusi belakang dengan selesa adalah sesuatu yang tidak mustahil. Dengan kapasiti 311 liter, ruang but 208 juga antara yang terbesar dalam kategori hatchback segmen B.

Peugeot 208 PureTech Review 03

Dengan adanya enjin baharu, karakter hatchback yang sememangnya dimiliki oleh 208 diperhebatkan lagi. Kehadiran ‘turbo lag’ tidak dinafikan, namun hanya untuk sementara. Sebaik sahaja jarum mencecah 1,500 rpm, kereta terasa lebih ringan dan dari situ ia terus memecut seperti sebuah jentera bernadikan turbo yang sejati. Setiap pecutan juga ditemani dengan deruman enjin bertenaga yang dikira mampu meningkatkan pengalaman pemanduan.

Peugeot 208 PureTech Review 12

Prestasi transmisi automatik enam kelajuan buatan Aisin itu juga tidak kurang hebatnya. Walaupun talaan yang diberikan lebih kepada penggunaan bahan api yang cekap, teknologi Quickshift membuatkan penukaran gear begitu cepat dan lancar. Malah, pengurangan geseran komponen dalaman membuatkan setiap penukaran gear yang dilakukan hampir tidak terasa.

Peugeot 208 PureTech Review 20

208 juga agak versatil dalam aspek pengendalian. Dengan enjin yang kompak dan lebih ringan, ia menjadi jentera lincah yang seronok dipandu di jalan raya berselekoh. Ia juga boleh bertukar menjadi sebuah hatchback yang tenang dan santai di lebuh raya jika dipandu dengan lebih berhemah. Casisnya tidak terlalu keras dan selesa untuk semua penumpang bagi perjalanan jarak jauh.

Peugeot 208 PureTech Review 11

Biarpun tidak mempunyai kesempatan untuk cuba memandu dari bahagian utara ke selatan tanah air dengan hanya satu tangki penuh, penulis secara peribadinya merasakan ianya agak mustahil atas dua faktor iaitu corak pemanduan dan muatan. Sejujurnya, dengan enjin turbo yang tangkas seperti ini, godaan untuk menekan pedal dengan agresif sentiasa ada dan ini membuatkan penjimatan bahan api sesuatu yang agak sukar dicapai, kecuali jika anda mempunyai tahap disiplin yang tinggi.

Peugeot 208 PureTech Review 16

Kedua, jika anda menggunakan kereta ini sebagai kereta utama untuk seisi keluarga, sudah pasti tahap penggunaan bahan api akan menjadi lebih tinggi daripada yang dicanangkan. Selain itu, faktor-faktor lain seperti cuaca dan permukaan jalan juga memainkan peranan.

Peugeot 208 PureTech Review 02

Walaupun begitu, ia tidak menjadi isu dan dengan bacaan penggunaan bahan api kurang dari 5 liter bagi setiap 100 km, hatchback Perancis ini masih lebih jimat berbanding pesaing-pesaingnya. Bukan itu sahaja, anda juga tidak perlu mengeluarkan belanja yang besar untuk cukai jalan dan insurans. Malah dengan harga RM89,888 (harga atas jalan termasuk insurans), ia juga dilindungi oleh jaminan selama lima tahun atau 120,000 km, termasuk bantuan tepi jalan 24 jam untuk tiga tahun, akses ke Peugeot Lounge di Lapangan Terbang Subang dan keahlian Peugeot Privilege.

Spesifikasi Peugeot 208 PureTech
Enjin: tiga silinder, turbo DOHC
Kapasiti: 1,199 cc
Kuasa: 112 PS @ 5,500 rpm
Tork: 205 Nm @ 1,500 rpm
Transmisi: automatik 6 kelajuan
0-100 km/j: 9.8 saat
Kelajuan maksimum: 190 km/j
Harga: RM89,888

 

 

 

 

 

 

 

Previous post

BMW i Ventures Melabur Dalam Mass Transit EV

Next post

VIDEO: Perbezaan Tayar 17, 18 dan 19 Inci

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *