Ford Teruskan Momentum Jualan Di Malaysia Dengan Prestasi Terbaik Pada Bulan November
Ford hari ini mengumumkan prestasi bulan November yang terbaik di Malaysia dengan jualan runcit keseluruhan melonjak sebanyak 32 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu kepada 1,080 unit, dipacu oleh model Ranger dan Fiesta yang mendefinisikan semula segmen masing-masing.
Jualan Ford pada tahun ini sehingga kini di Malaysia meningkat sebanyak 29 peratus kepada 12,506 unit, sekali gus meletakkan syarikat di landasan terbaik untuk mencatat rekod jualan tahunan di Malaysia.
“Angka jualan bulan November yang memberangsangkan ini membuktikan bahawa kenderaan global Ford – yang fokus terhadap aspek keselamatan, prestasi, penjimatan bahan api, teknologi pintar dan rekaan menarik – kian mendapat perhatian ramai pelanggan di seluruh negara,” kata Pengarah Urusan, Malaysia dan Pasaran Membangun Asia Pasifik Ford Motor Company, David Westerman.
Prestasi bulan November diterajui oleh trak pikap Ranger yang versatil apabila jualannya melonjak sebanyak 49 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu kepada 750 unit. Sehingga November, jualan Ranger menokok sebanyak 47 peratus kepada 7,581 unit berikutan permintaan terhadap keseluruhan variannya dilihat terus kukuh.
Menawarkan pakej keselamatan yang tiada tandingannya di Malaysia, keseluruhan rangkaian model Ranger kini dilengkapi ciri keselamatan aktif dan pasif tambahan. Ini termasuklah sistem Electronic Stability Program (ESP) Ford pada semua varian. Di samping cagak ISOFIX untuk tempat duduk kanak-kanak pada semua varian XLT, XL Double Cab dan Wildtrak.
Model Fiesta yang sporty menyaksikan pertumbuhan jualan runcit sebanyak empat peratus berbanding tempoh sama tahun lalu kepada 162 unit pada bulan November. Angka ini membantu menaikkan jualan pada tahun ini sehingga kini menjadi 26 peratus kepada 2,912 unit.
Permintaan yang memberangsangkan terhadap Fiesta dipacu oleh varian yang dilengkapi enjin 1.0L EcoBoost berprestasi tinggi. Enjin itu menawarkan gabungan prestasi, penjimatan bahan api dan tahap emisi yang mendahului kelasnya. Model ini merekodkan jualan bulanan terbaik pada November dengan dua daripada tiga pembeli Fiesta memilih varian 1.0L EcoBoost.
“Amat menggembirakan apabila melihat semakin ramai pelanggan menghargai prestasi mengagumkan dan kos pemilikan rendah yang ditawarkan oleh enjin 1.0L EcoBoost. Ia benar-benar menjadikan Fiesta memiliki proposisi nilai yang unik dalam segmen ini,” jelas Westerman.
Rangkaian model Fiesta dikembangkan pada bulan November dengan ketibaan jentera yang sarat dengan pelbagai ciri, Fiesta ST. Kereta kompak yang mantap dan berprestasi tinggi itu menawarkan maklum balas reponsif dan kuasa yang sebenar.
November juga menyaksikan bermulanya penghantaran awal kenderaan komersial, Transit yang dipasang tempatan serta pelancaran rasmi rangkaian sembilan pusat servis Quick Lane di Semenanjung Malaysia. Rangkaian itu merupakan sebahagian daripada strategi Ford untuk menambah baik pengalaman khidmat selepas jualan dan pemilikan pelanggan. SDAC juga bakal melabur sebanyak RM140 juta ke atas pengedar baharu dan sedia ada untuk dua tahun akan datang.
“Kami yakin, menerusi rangkaian kenderaan global Ford yang kian bertambah serta komitmen untuk menawarkan para pelanggan sedia ada dan akan datang dengan pengalaman pemilikan yang terbaik, ia dapat menyokong pertumbuhan kukuh kami di Malaysia,” tambah Westerman.
No Comment