BMW Z4 Kembali Dalam Bentuk Konsep
Kerjasama antara BMW dan Toyota bagi menghasilkan Z4 dan Supra generasi seterusnya bukanlah satu rahsia. Walaupun ia mungkin akan mengambil sedikit masa lagi sebelum versi produksi diperlihatkan, BMW Concept Z4 ini mampu memberikan sedikit idea tentang reka bentuk kereta roadster terbaru jenama itu.
Didedahkan di acara Concours d’Elegance di Pebble Beach, California, Concept Z4 ini tampil dengan reka bentuk klasik roadster seperti jarak roda yang panjang, badan yang rendah dan bahagian belakang yang kompak. Bonet lebih pendek pula memastikan pemandu berada lebih dekat dengan titik tengah kedneraan, memberikan pemanduan yang lebih sporty dan lincah.
Concept Z4 mempunyai gril dengan kemasan mesh, lubang udara Air Breathers yang besar di bahagian kiri dan kanan bampar hadapan serta lubang ambilan udara yang diperbuat daripada gentian karbon di tengah. Bahagian belakang memberikan imej kereta yang lebar dengan lampu berbentuk L dan diffuser gentian karbon.
Ia juga memakai rim aloi ringan bersaiz 20 inci serta warna Energetic Orange yang dikatakan boleh menyerlahkan sifat tiga dimensi pada permukaan kenderaan.
Seperti mana-mana kenderaan BMW yang lain, bahagian kabin Concept Z4 memfokuskan kepada pengalaman memandu. Bagi tujuan itu, tempat duduk, panel pintu, stereng serta panel instrumen di bahagian pemandu didatangkan dalam warna hitam, manakala selebihnya berwarna oren.
Kluster instrumen dan paparan informasi tengah diletakkan berdekatan dengan satu sama lain supaya ia tampak seperti unit skrin tunggal. Pemandu boleh memilih jenis maklumat yang ingin dipaparkan menerusi arahan sentuh. Di atas kluster instrumen pula terdapat paparan head-up yang menunjukkan maklumat selari dengan pandangan pemandu.
No Comment