Pandu Uji

Pandu Uji: Hyundai Tucson 1.6 T-GDI dan 2.0 CRDi

Hyundai Tucson generasi ketiga telah dilancarkan ke pasaran Malaysia pada November 2015. Setelah hampir dua tahun berada di pasaran, Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM), syarikat yang bertanggungjawab memasarkan jenama itu di Malaysia, mengambil keputusan untuk menyegarkan barisan model tersebut dengan penambahan dua varian baharu iaitu 1.6 T-GDI dan 2.0 CRDi diesel.

BHP-Harmony-in-Performance_DSF_Banner-Malay_650x85_201606101

Selain daripada memberi pelanggan lebih banyak pilihan, langkah itu juga membolehkan Tucson terus kekal relevan di pasaran, apatah lagi dengan pelancaran Honda CR-V baharu dan yang akan datang, Mazda CX-5.

IMG_1667

Ketika dilancarkan buat pertama kali pada akhir 2015, Tucson hanya ditawarkan dengan enjin 2.0 naturally aspirated dalam varian Elegance dan Executive sebagai varian paling tinggi. Kini, barisan model Tucson mempunyai tiga varian iaitu 2.0 Elegance (RM126,188), 1.6 T-GDI (RM145,588) serta 2.0 CRDi (RM155,788) sebagai varian paling tinggi menggantikan Executive.

Dalam satu sesi bersama HSDM dan rakan-rakan media yang lain, kami diberi peluang untuk memandu uji kedua-dua varian terbaru itu ke Ipoh dan balik semula ke Kuala Lumpur pada hari yang sama melalui jalan lama dan lebuh raya.

IMG_1805

Dari segi reka bentuk luaran, tidak banyak perbezaan antara varian 1.6 T-GDI dan 2.0 CRDi. Kedua-duanya menampilkan lampu LED hadapan dengan Static Bending Lights, lampu nyalaan siang, lampu lopak serta kemasan krom pada jeriji dan pemegang pintu. Kedua-duanya juga didatangkan dengan rim 17 inci sebagai standard, namun unit pandu uji 2.0 CRDi ini memakai rim 19 inci yang ditawarkan sebagai pilihan.

Untuk membezakan 1.6 T-GDI dengan 2.0 CRDi dari bahagian dalam juga agak sukar kerana kedua-dua varian didatangkan dengan kemasan kulit, skrin warna TFT LCD 4.2 inci pada panel instrumen, Auto Cruise System, brek parkir elektronik, kawalan lampu automatic serta sistem navigasi audio visual (AVN) yang menggunakan sistem operasi Android.

20170810_091323

Bukan itu sahaja, kedua-dua varian juga dilengkapi dengan tempat duduk pemandu boleh laras lapan cara, cermin electro-chromic, lubang udara pendingin hawa belakang, serta sistem Smart Tailgate. Sistem ini membolehkan pintu bonet belakang dibuka secara automatik apabila pemandu berdiri di bahagian belakang kereta tanpa mengeluarkan kunci dari dalam poket. Tiada hayunan kaki diperlukan di sini.

Walaupun pada dasaranya ia adalah kenderaan yang sama, enjin dan transmisi yang berlainan memberikan kedua-dua varian Tucson ini karakter yang tersendiri. Varian 1.6 T-GDI menggunakan enjin turbo petrol empat silinder yang menghasilkan 177 PS pada 5,500 rpm dan 265 Nm dari 1,500 hingga 4,500 rpm. Pada asasnya ia menggunakan enjin yang sama dengan Elantra Sport, namun versi ini menggunakan pengecas turbo single scroll berbanding dengan unit twin scroll pada model sedan itu.

20170810_132435

Digabungkan dengan transmisi dwi klac tujuh kelajuan (DCT), Tucson 1.6 T-GDI membuktikan bahawa ia sebuah SUV yang lincah bertenaga. Tork maksimum hadir dalam julat yang agak besar iaitu 3,000 rpm, maka pemandu boleh menggunakan kelebihan ini untuk memecut atau memotong kenderaan lain. Pada kelajuan rendah, kehadiran turbo lag jelas dirasakan, namun ini diseimbangkan dengan transmisi yang berupaya menukar gear dengan laju dan lancar.

Selain dari untuk tujuan prestasi, unit itu juga memanfaatkan kuasa yang dihasilkan dengan baik untuk penjimatan minyak. Di lebuh raya, jarum rpm sentiasa berada di paras 2,000 dengan kelajuan kenderaan sekitar 130 hingga 140 km/j.

20170810_131128

Tucson 2.0 CRDi pula dikuasakan oleh enjin turbo diesel empat silinder dengan output sebanyak 178 PS pada 4,000 rpm dan 400 Nm dari 1,750 hingga 2,750 rpm. Tidak dinafikan lagi, varian ini mempunyai kuasa pecutan yang mengagumkan walaupun mempunyai julat rpm yang lebih kecil. Ini memberikannya kelebihan apabila kenderaan dipenuhi dengan penumpang dan barang, di mana pemandu tidak perlu menekan pendikit secara berlebihan untuk bergerak.

Berbanding varian 1.6 T-GDI, Tucson diesel menggunakan khidmat transmisi jenis torque converter enam kelajuan yang dikatakan mampu mengendalikan jumlah tork yang lebih besar berbanding DCT. Penukaran gear boleh dikatakan cukup lancar untuk sebuah SUV dengan kuasa diesel.

20170810_131951

Kedua-dua varian dilengkapi dengan stereng kuasa motor (Motor Driven Power Steering, MDPS), serta suspensi MacPherson di bahagian hadapan dan multi-link di bahagian belakang. Bagaimana pun, Tucson 1.6 T-GDI dengan saiz enjin yang lebih kecil yang nyata mempunyai kelebihan dari segi pengendalian di selekoh. Bahagian depannya lebih ringan berbanding Tucson diesel, membuatkan ia lebih responsif dan mampu untuk mengambil selekoh dengan lebih cepat.

Agak sukar untuk penulis mengatakan varian mana yang lebih baik kerana masing-masing mempunyai kelebihan dan karakter tersendiri. Jika anda inginkan SUV yang lebih diperhalusi untuk seisi keluarga dan bayaran cukai jalan yang rendah, Tucson 1.6 T-GDI patut dijadikan pilihan. Untuk kuasa dan penjimatan bahan api pada masa yang sama, Tucson 2.0 CRDi nampak seperti pilihan yang menarik.

20170810_123548

Tidak kira varian apa yang anda pilih, Tucson didatangkan dengan jaminan selama lima tahun atau 300,000 km, dengan pakej servis percuma selama tiga tahun atau 50,000 km.

IMG_1799

Spesifikasi Hyundai Tucson 1.6 T-GDI
Enjin: pengecas turbo, empat silinder
Kapasiti: 1,591 cc
Kuasa: 177 PS @ 5,500 rpm
Tork: 265 Nm @ 1,500 – 4,500 rpm
Transmisi: dwi klac automatik 7 kelajuan
0-100 km/j: –
Kelajuan maksimum: –
Harga: RM145,588

20170810_143903

Spesifikasi Hyundai Tucson 2.0 CRDi
Enjin: turbo diesel, empat silinder
Kapasiti: 1,995 cc
Kuasa: 178 PS @ 4,000 rpm
Tork: 400 Nm @ 1,750 – 2,750 rpm
Transmisi: automatik 6 kelajuan
0-100 km/j: –
Kelajuan maksimum: –
Harga: RM155,788

 

Previous post

BMW Z4 Kembali Dalam Bentuk Konsep

Next post

Jejak Makan || ROSS || Eat Beat Ep 39 - PAUL Bakery, Patisserie, Cafe & Restaurant

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *