Ferrari Challenge Asia Pacific – Pusingan Singapura
Kejohanan Formula 1 Singapore Grand Prix pada hujung minggu lalu dibuka oleh siri Ferrari Challenge Asia-Pacific yang kini telah masuk ke pusingan keenam. Ia menyaksikan persaingan antara 29 pelumba yang bersaing dalam beberapa kelas.
Trofeo Pirelli
Pada hari pertama perlumbaan, petak permulaan bagi kelas ini didahului oleh pelumba tempatan iaitu Ringo Chong, yang berjaya mengekalkan kedudukan sehingga kereta keselamatan masuk ke litar bagi memberi ruang kepada Kent Chen yang terbabas. Tempat kedua diduduki oleh Zen Low dari Malaysia manakala tempat ketiga milik Huilin Han dari China.
Hari kedua perlumbaan juga menyaksikan dominasi Ringo Chong yang menduduki petak pertama dari awal hingga akhir persaingan, walaupun ditentang sengit oleh Zen Low. Tempat ketiga berjaya dirampas oleh Angelo Negro yang bijak mengambil peluang ketika Philippe Prette dan Huilin Han sedang bersaing.
Trofeo Pirelli AM
Ziad Ghandour (Lebanon) menduduki petak pertama dalam saingan pertamanya di Singapura, diikuti oleh Yanbin Xing dan Keto Seto. Ghandour kekal sebagai pendahulu sehingga akhir perlumbaan, manakala Seto berjaya memotong Xing untuk merampas kedudukan naib juara.
Keputusan yang sama juga dicatatkan pada hari kedua perlumbaan, di mana Ghandour, Seto dan Xing masing-masing menempah tempat di podium. Pencapaian di tempat kedua sudah cukup untuk memacu Seto ke puncak senarai kedudukan pelumba.
Coppa Shell
Pada hari pertama, Eric Zang dari China yang memulakan perlumbaan dari petak pertama berjaya muncul juara, diikuti oleh Charles Chan dari Hong Kong di tempat kedua dan Makoto Fujiawara di tempat ketiga. Gentlemen Cup menjadi milik Hideo Honda manakala Ladies’ Cup menjadi milik pelumba Thailand, Kanthicha Chimsiri.
Zang terus mengekalkan momentum untuk muncul sebagai pemenang bagi hari perlumbaan kedua, namun tempat kedua dan ketiga bertukar tangan apabila Fujiwara berjaya mengatasi cabaran sengit dari Chan. Walaupun memenangi dua perlumbaan, ia masih belum cukup untuk Zang merampas kedudukan Fujiwara sebagai pendahulu keseluruhan.
Pirelli 458
Walaupun bersaing untuk kali pertama, pelumba dari Australia, Martin Berry berjaya mengekalkan kedudukannya di hadapan pesaing dari mula sehingga tamat perlumbaan. Bagaimana pun, beliau gagal mencapai kedudukan podium apabila dikenakan penalti 25 saat akibat melanggar peraturan ketika memotong. Kemenangan akhirnya berpihak kepada Tamotsu Kondo, Sam Lok dan Min Xiao.
Berry bagaimana pun berjaya menebus kekecewaannya apabila muncul juara pada perlumbaan kedua walaupun bermula dari belakang. Sam Lok menamatkan perlumbaan di belakang Berry, manakala Sky Chen terpaksa berpuas hati dengan tempat ketiga.
No Comment