Continental Tyre Malaysia lancarkan tayar MaxContact MC6
Continental Tyre Malaysia telah melancarkan tayar baharu MaxContact MC6, yang merupakan produk Generasi 6 ketiga bagi jenama itu selepas UltraContact UC6 dan ComfortContact CC6.
Dibangunkan menjadi tayar yang lebih sporty berbanding MC5, MC6 dikatakan mempunyai peningkatan yang ketara dalam aspek pengendalian, brek serta perbatuan dengan adanya teknologi dari Jerman.
Antara teknologi yang digunakan adalah reka bentuk bunga pelbagai fungsi yang meningkatkan cengkaman sambil mengurangkan jarak membrek dalam keadaan basah dan kering. Ia juga dilengkapi dengan bar penstabil yang berfungsi menstabilkan blok di bahagian bahu tayar bagi membentuk satu unit yang teguh.
MC6 menggunakan polimer pelekat di dalam kompaunnya yang memberikan cengkaman dan keselamatan menerusi penyesuaian kepada pelbagai jenis permukaan jalan.
Ketika mengambil selekoh dengan laju, kekukuhan bahan lapisan Xtreme-Force mampu mengurangkan fleksi tayar sekaligus memberikan kawalan maksimum. Pada kelajuan rendah, lapisan adaptif tersebut mengekalkan kelenturannya untuk memastikan perjalanan yang selesa.
Untuk lebih keselesaan, MC6 turut menampilkan satu ciri yang dikenali sebagai Noise Breaker 2.0 yang pada asasnya berfungsi memecahkan gelombang hingar yang mengalir melalui alur tayar.
Dihasilkan di kilang Continental di Alor Setar, Kedah, tayar MC6 boleh didapati dalam pelbagai saiz dari 16 hingga 20 inci. Harga bagaimanapun masih belum diumumkan.
No Comment