12 perkara menarik tentang Lamborghini Urus
Lima tahun selepas ia muncul dalam versi konsep, Lamborghini Urus akhirnya didedahkan kepada umum di tempat kelahiran jenama itu di Sant’Agata Bolognese, Itali.
Di sini kami telah kumpulkan beberapa fakta menarik bagi memahami model ini dengan lebih mudah.
1. Walaupun ia pada dasarnya sebuah SUV, Lamborghini menggelar rekaan terbarunya ini sebagai SSUV atau ‘Super Sport Utility Vehicle’.
2. Ramai yang menyangka Urus adalah SUV pertama keluaran Lamborghini. Ia sebenarnya model yang kedua selepas LM002 atau ‘Rambo Lambo’ yang dikeluarkan dari 1986 hingga 1993.
3. Mengekalkan tradisi Lamborghini, nama ‘Urus’ diambil sempena baka yang dibiak untuk tujuan perlawanan lembu di Sepanyol.
4. Urus adalah model Lamborghini pertama yang didatangkan dengan pengecas turbo. Enjin 4.0-liter V8 yang digunakan mempunyai dua turbin dan menghamburkan 650 hp pada 6,500 rpm dan 850 Nm pada 2,250 rpm.
5. Lamborghini mendakwa Urus mempunyai nisbah berat-kuasa yang terbaik dalam kelasnya iaitu 3.38 kg/hp.
6. Urus memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.6 saat dan 0 hingga 200 km/j dalam 12.8 saat. Dengan kelajuan maksimum 305 km/j, ia juga dikatakan SUV yang terpantas di dunia.
7. Urus dibina di atas platform Volkwswagen Group yang sama dengan Bentley Bentayga, Audi Q7 dan Porsche Cayenne.
8. Buat pertama kalinya, Lamborghini menggunakan teknologi Active Roll Stabilization untuk memberikan pengendalian yang lebih berkesan terutamanya ketika mengambil selekoh.
9. Selain Active Roll Stabilization, model ini juga dilengkapi dengan suspensi udara adaptif, pemvektoran tork serta sistem kawalan stereng roda belakang (rear wheel steering) yang diambil daripada Aventador S.
10. Pemandu boleh memilih mod pemanduan melalui ciri yang digelar sebagai ANIMA (Adaptive Network Intelligent MAnagement). Mod yang disediakan adalah Strada, Corsa, Sport, Neve (salji), Terra (off-road), dan Sabbia (pasir).
11. Urus didatangkan dengan rim 21 inci secara standard, namun pelanggan boleh memilih untuk mendapatkan rim 23 inci. Tersembunyi di belakang rim adalah cakera seramik karbon bersaiz 440 mm di hadapan dan 370 mm di belakang.
12. Harga bermula dari USD200,000 (RM813,400) dan penghantaran dijangka bermula pada tahun hadapan.
No Comment