Porsche Macan SportDesign Series – RM545,000
Sime Darby Auto Performance (SDAP) mengakhiri tahun 2017 dengan pelancaran Macan SportDesign Series edisi terhad yang menyerlah dengan penampilan sporty serta pelbagai kelengkapan standard.
Model ini boleh didapati dalam dua pilihan warna Volcano Grey Metallic dan Carrara White Metallic, kedua-duanya dipadankan dengan kemasan kulit merah/hitam di bahagian dalam.
Bahagian luaran Macan SportDesign Series dihiasi dengan apron depan dan belakang, skirt sisi serta jalur berwarna perak dan merah. Lampu LED hitam dengan ciri Porsche Dynamic Light System Plus (PDLS+), lampu belakang tinted, rel bumbung dan ekzos berwarna hitam berkilat serta rim 21 inci yang ditawarkan dalam dua reka bentuk menyerlahkan lagi penampilan model ini.
Kelengkapan di bahagian dalam termasuk tempat duduk boleh laras 14 cara dengan fungsi memori bagi tempat duduk hadapan dan sistem audio Bose 545W dengan 14 pembesar suara. Selain itu, suspensi udara, Porsche Active Suspension Management (PASM) dan pakej Sport Chrono turut disertakan.
Model ini dikuasakan oleh enjin 2.0-liter empat silinder turbo yang menghasilkan 252 hp dan 370 Nm. Ia digerakkan dengan kotak gear PDK tujuh kelajuan dan sistem pacuan empat roda.
Macan SportDesign Series dijual pada harga RM545,000 yang menawarkan penjimatan jika dibandingkan dengan Macan dengan kelengkapan yang sama. Terhad kepada 40 unit sahaja, ia didatangkan dengan jaminan selama empat tahun dan pakej penyelanggaraan percuma.
No Comment