Pandu Uji

Pandu Uji: Volkswagen Beetle Sport

Volkswagen Beetle adalah nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi dalam dunia automotif. Diperkenalkan sejak tahun 1938, kereta comel ini yang pada asalnya dibangunkan sebagai kenderaan rakyat yang murah dan mampu milik telah berubah menjadi apa yang boleh dikatakan sebagai kenderaan rasmi bagi mereka yang suka bergaya.

BHP-Harmony-in-Performance_DSF_Banner-Malay_650x85_201606101

Jika dilihat pada reka bentuknya, ini bukanlah sesuatu yang menghairankan. Perekanya iaitu Walter de Silva boleh dikatakan telah berjaya menghasilkan rekaan moden yang menepati cita rasa pengguna masa kini tanpa meninggalkan elemen retro yang diperkenalkan menerusi model asalnya. Ia juga tidak nampak terlalu feminin berbanding model terdahulu.

Volkswagen Beetle

Bukan itu sahaja, Beetle bagi pasaran Malaysia juga boleh dimiliki dalam tujuh warna menarik White Silver, Dark Bronze, Pure White, Tornado Red bagi varian Design dan Blue Silk, Habanero Orange serta Bottle Green (seperti di dalam gambar) untuk varian Sport.

Volkswagen Beetle

Berbeza dengan Design yang menggunakan lampu utama halogen, Beetle Sport mendapat lampu bi-Xenon dengan lampu nyalaan siang LED yang sangat cantik dan menonjol. Kedua-dua varian menggunakan rim 16 inci dengan rekaan yang sama.

Volkswagen Beetle

Bahagian kabin Beetle turut mengekalkan tema retro dengan rekaan papan pemuka ringkas yang dipadankan dengan panel mengikut warna badan. Warna Bottle Green dirasakan cukup sesuai untuk digunakan seperti ini kerana tonanya yang sedikit gelap dan tidak menyakitkan mata.

Volkswagen Beetle

Dari aspek keselesaan, tempat duduk sport yang dibalut kulit terasa cukup lembut untuk kegunaan seharian dan tidak meletihkan badan. Dimensi model ini yang berkembang dari setiap sudut juga menghasilkan ruang kabin yang luas dan selesa, terutamanya bagi pemandu dan penumpang hadapan. Penumpang belakang mempunyai ruang kaki yang sederhana namun garis bumbung yang menurun secara dramatik sedikit menjejaskan ruang kepala.

Volkswagen Beetle

Bercerita tentang ruang, terdapat satu ruang simpanan pada papan pemuka sebagai tambahan kepada glovebox sedia ada. Ia cukup luas untuk memuatkan barang-barang peribadi seperti telefon, dompet dan sebagainya. Dengan kapasiti 310 liter, butnya mampu memuatkan bagasi untuk sekurang-kurangnya dua penumpang. Ia juga lebih besar berbanding MINI Cooper.

Volkswagen Beetle

Bagaimanapun, apa yang paling mengejutkan tentang Beetle ini adalah kemampuannya dalam aspek pemanduan. Imej comelnya langsung tidak padan dengan prestasinya yang mampu membuatkan anda teruja. Enjin TSI 1.2-liter empat silinder yang digunakan hanya menghasilkan 103 hp dan 175 Nm. Jumlah itu mungkin kecil, namun ia terbukti cukup untuk memacu kereta seberat 1,297 kg itu tanpa sebarang masalah.

Volkswagen Beetle

Enjin turbo tersebut dipadankan dengan transmisi DSG tujuh kelajuan yang menggunakan ‘dry clutch’. Gabungan ini memberikan pemanduan yang lancar pada kelajuan rendah dan bertenaga pada kelajuan lebih tinggi. Mod S dan paddle shifter mampu memberikan pemanduan lebih agresif dengan kebebasan untuk menukar gear sendiri. Di sini anda akan dapat merasa keserasian antara enjin TSI dan transmisi DSG.

Volkswagen Beetle

Kebolehan Beetle bukan dari rangkaian kuasanya sahaja. Model yang dibina berasakan platform Golf ini juga mempunyai casis yang cekap dan seimbang. Ia tidak keras seperti yang selalu dijangka daripada sebuah Volkswagen namun masih berupaya untuk melayan jalan-jalan berselekoh sekiranya diperlukan.

Volkswagen Beetle

Dari aspek kelengkapan, golongan ‘tech savvy’ pasti menyukai sistem infotainment yang terdapat pada Beetle Sport. Skrin sentuh Composition Media bersaiz 6.5 inci ini menyediakan ciri App-Connect yang membolehkan pengguna menyambung telefon pintar mereka kepada kereta menerusi platform Android Auto, Apple CarPlay atau Mirror Link.

Volkswagen Beetle

Sistem ini dipadankan pula dengan lapan pembesar suara yang sangat memuaskan hati dan cukup bagus untuk sesi karaoke dalam kereta. Ia juga mempunyai ciri kemudahan lain seperti sistem pendingin hawa dwi zon, Park Distance Control yang sangat membantu ketika memarkir serta Hill-Hold Control.

Volkswagen Beetle

Ciri-ciri keselamatan pula merangkumi Electronic Stability Control (ESC), ABS dengan EBD serta empat beg udara, yang kami kira cukup untuk kereta sebesar ini. Kereta ini juga mempunyai cagak Isofix, namun ia pasti jarang sekali digunakan oleh pemiliknya. Adil untuk dikatakan bahawa Beetle Sport nampak seperti tawaran yang lengkap dan menarik. Ia cantik (terutamanya dalam warna Green Bottle), seronok dipandu dan mempunyai tahap praktikaliti yang boleh dipuji untuk sebuah hatchback dua pintu.

Volkswagen Beetle

Harganya iaitu RM147,888 mungkin membuatkan anda berfikir dua kali namun jaminan pengeluar selama lima tahun, servis percuma tiga tahun dan bantuan tepi jalan untuk lima tahun yang ditawarkan sekurang-kurangnya dapat menyenangkan hati anda.

Volkswagen Beetle

Spesifikasi Volkswagen Beetle Sport
Enjin: TSI turbo empat silinder
Kapasiti: 1,197 cc
Kuasa: 103 hp @ 5,000 rpm
Tork: 175 Nm @ 1,550 rpm
Transmisi: DSG tujuh kelajuan
0-100 km/j: 10.9 saat
Kelajuan maksimum: 180 km/j
Harga: RM147,888

Previous post

Hyundai Dedah Lakaran Santa Fe Generasi Keempat

Next post

Kriti Sanon Beli Q7 Diesel

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *