Boon Siew Honda Lancar Pusat BigWing Pertama di Malaysia
Boon Siew Honda (BSH) telah melancarkan pusat Honda BigWing pertama di negara ini.
Diuruskan oleh Ee Tiong Motorsports Sdn Bhd, ia merupakan pusat jualan dan servis bagi motosikal Honda berkapasiti 250 cc dan ke atas.
Setapak dipilih berdasarkan lokasinya yang strategik serta keyakinan BSH terhadap keupayaan Ee Tiong Motorsports dalam memenuhi kehendak pengguna. Menurut BSH, ia merancang untuk membuka tiga lagi cawangan BigWing di Pulau Pinang, Selangor dan Johor pada tahun ini.
Dibangunkan untuk menampung permintaan pasaran yang pelbagai, BigWing Setapak menampilkan rekaan terkini dalam kalangan operasi global Honda yang dikenali sebagai “Destinasi untuk Penunggang”.
Fasiliti berukuran 5,535 kaki persegi itu menyediakan ruang pameran, pusat servis, sudut alat ganti dan aksesori serta ruang istirehat. Ia juga akan menjadi lokasi tumpuan pelbagai aktiviti seperti konvoi antarabangsa dan sesi bertemu penunggang.
Selain itu, pelanggan akan mendapat kad ahli Honda BigWing secara percuma yang membolehkan mereka menikmati diskaun minimum sebanyak 10% ke atas alat ganti dan aksesori dan pakej insurans khas.
Dalam pada itu, pelancaran pusat itu juga menyaksikan kehadiran X-ADV, CRF1000L Africa Twin dan CB1000R yang dijangka akan berada dalam pasaran tempatan dalam separuh pertama dan kedua tahun ini.
Menerusi rangkaian dan penawaran model-model terbaru, BSH mensasarkan peningkatan jualan sebanyak 30% atau lebih 1,600 unit bagi motosikal berkuasa tinggi pada tahun hadapan.
No Comment