BMW F 850 GS Buat Kemunculan di Malaysia
BMW Motorrad Malaysia baru-baru ini memberikan pratonton eksklusif bagi BMW F 850 GS baharu sewaktu acara BMW Motorrad Nightfuel edisi kelima yang diadakan di Puteri Harbour Front, Johor.
Menggantikan F 800 GS, model ini menampilkan rupa paras baharu yang memanfaatkan reka bentuk yang lebih dinamik dan maskulin. Untuk meningkatkan keupayaan tunggangan off-road, perhatian diberikan bagi memastikan tiada selekoh atau bucu yang boleh menyebabkan ketidaksenangan pada ruang berhampiran tangki bahan bakar dan tempat duduk.
Pelindung angin dan cuaca juga turut dioptimumkan, manakala struktur bermodul pada cermin hadapan (aksesori BMW Motorrad yang tulen) membolehkan konfigurasi individu disesuaikan mengikut kehendak penunggang. Cermin hadapan standard juga boleh ditukar dengan mudah.
F 850 GS menampilkan enjin 853 cc dua slinder yang menghasilkan 95 hp pada 8,250 rpm dan 92 Nm pada 6,250 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi enam kelajuan dengan klac ‘anti-hopping’ dan ‘self-amplifying’ yang mengurangkan kuasa pengoperasian klac tangan.
F 850 GS menawarkan mod Rain dan Road sebagai kelengkapan standard, manakala mod Dynamic, Enduro dan Enduro Pro boleh dimiliki menerusi pakej tambahan Pro. Gabungan ABS dan pengawal kestabilan automatik (ASC) menawarkan tahap keselamatan yang tinggi.
Roda hadapan dipandu oleh serampang teleskopik, dan roda belakang pula dipandu oleh lengan berayun aluminium dwi-bahagian dengan topang spring pusat. Model ini juga dilengkapi dengan set roda ‘cross-spoke’ aluminium dengan tayar tidak bertiub yang bersaiz 21 inci di hadapan.
Ia juga mempunyai kluster instrumen baharu dengan skrin warna bersaiz 6.5 inci yang memaparkan informasi pada kadar yang lebih pantas dan dengan lebih jelas, selain boleh membuat panggilan telefon atau memainkan muzik melalui sambungan pada telefon pintar. BMW menawarkan pelbagai kelengkapan pilihan dan aksesori untuk F 850 GS, termasuk pakej-pakej individualisasi iaitu Comfort, Touring, Dynamic, dan Lights.
F 850 GS boleh didapati dalam tiga gaya tersendiri iaitu Exclusive dengan warna matte metalik Pollux; Rallye dengan warna putih (Light White), merah (Racing Red) dan biru metalik (Lupin Blue); dan gaya asas Racing Red. Harga bagi model ini akan didedahkan semasa pelancaran rasminya pada bulan November nanti.
No Comment