Rivian R1T Boleh Dipandu Sejauh 644 KM Dengan Kuasa Elektrik
Pengeluar kenderaan elektrik baharu iaitu Rivian telah memperkenalkan produk pertama mereka yang dikenali sebagai R1T. Secara ringkasnya, ia merupakan trak pikap futuristik yang menampilkan pacuan kuasa elektrik.
R1T dibina di atas platform ‘skateboard’ yang membolehkan bateri, unit pemacu, suspensi, brek dan sistem thermal dipakejkan di bawah paras roda, sekaligus menghasilkan titik graviti yang rendah.
Kuasa dibekalkan oleh empat buah motor elektrik yang diletakkan pada setiap roda, secara tidak langsung memberikan model ini ciri Active Torque Vectoring. Dengan kuasa sebanyak 147kW dan 3,500 Nm pada setiap roda, trak ini mampu memecut dari 0-97 km/j dalam tiga saat dan dari 0-161km/j dalam kurang tujuh saat, dengan kelajuan maksimum 201 km/j.
Gabungan casis yang kuat dan pacuan elektrik yang bertenaga ini juga boleh memberikan R1T kapasiti tunda sehingga hampir 5 tan.
Menurut Rivian, R1T akan ditawarkan dengan tiga pek bateri berlainan kapasiti iaitu 180 kWh dengan jarak pemanduan 644 km, 135 kWh dengan jarak pemanduan 483 km dan 105 kWh dengan jarak pemanduan 370 km.
Dari segi kemudahan, terdapat tiga ruang storan utama iaitu bonet hadapan berkapasiti 330 liter dengan hud yang boleh dioperasikan secara elektrik, ‘gear tunnel’ 350 liter di dalam kabin dan ruang storan belakang bersaiz 200 liter yang boleh digunakan untuk menyimpan tayar ganti bersaiz penuh.
Selain itu, R1T turut didatangkan dengan sistem pemanduan autonomi Tahap 3 yang merangkumi kamera, radar, lidar, ultrasonik dan GPS. Dengan sistem ini, pemandu tidak perlu lagi memegang stereng atau melihat jalan raya di hadapan.
Harga bagi R1T tidak murah iaitu bermula dari $61,500 (RM257,992) bagi varian asas. Tempahan telah dibuka dengan bayaran deposit $1,000 (RM4,195) manakala penghantaran dijangka bermula menjelang akhir 2020.
No Comment