Toyota Supra Pertama Bakal Dilelong
Toyota Supra baharu (A90) adalah kereta sport yang paling dinanti-nantikan tahun ini dan sudah tentu ramai yang ingin menjadi individu pertama yang memiliki model tersebut.
Bagi mereka yang berada di Amerika Syarikat, impian ini boleh menjadi kenyataan dengan membida kereta tersebut dalam acara lelongan Barrett-Jackson yang akan diadakan di Scottsdale, Arizona pada 19 Januari 2019. Hasil lelongan akan disalurkan kepada America Heart Association dan Bob Woodruff Foundation.
Menurut Toyota, Supra tersebut akan menjadi Supra pertama yang ditawarkan di Amerika Syarikat dalam tempoh 20 tahun dan akan didatangkan dengan nombor pengenalan kenderaan (VIN) 20201.
Unit yang akan dilelong nanti menampilkan warna kelabu matte dengan cermin sisi merah (seperti yang ditunjukkan dalam gambar di atas), serta rim dalam warna hitam matte. Bahagian dalaman pula menampilkan upholsteri kulit berwarna merah dan lencana gentian karbon yang menyatakan statusnya sebagai Supra pertama di negara itu.
Supra akan diperkenalkan sepenuhnya di North American International Auto Show 2019 di Detroit pada 14 Januari.
No Comment