Boon Siew Honda Jual 156,000 Unit Motosikal Tahun Lalu
Pada majlis pelancaran tiga model baharu semalam, Boon Siew Honda turut mengumumkan strategi bagi 2019 dengan matlamat untuk menjadi jenama peneraju dalam industri motosikal di Malaysia tahun ini menerusi penawaran produk serta peletakan jenama.
Menurut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, Keiichi Yasuda, syarikat itu merekodkan prestasi jualan yang cemerlang pada tahun lalu, di mana lebih kurang 156,000 unit motosikal berjaya dijual. Jumlah itu mewakili peningkatan sebanyak 28.7% berbanding 121,000 unit yang dicatatkan pada tahun 2017.
Prestasi yang memberangsangkan ini turut meningkatkan peratusan perkongsian pasaran motosikal Boon Siew Honda dari 26% pada 2017 kepada 30% pada tahun lepas. Wilayah tengah adalah penyumbang utama kepada jualan keseluruhan dengan 55,263 unit atau 35.4%, diikuti oleh wilayah utara sebanyak 40,903 unit atau 26.2%.
Model RS150R dan Wave Alpha menjadi penyumbang utama kepada jualan keseluruhan Boon Siew Honda pada tahun lalu dengan masing masing mencatat 43,948 dan 36,895 unit.
Bagi tahun 2019, Boon Siew Honda dijangka melaksanakan strategi lebih agresif untuk mengukuhkan lagi kedudukan jenama itu di negara ini. Untuk itu, syarikat itu telah menggariskan lima strategi utama yang selari dengan hala tuju perniagaan mereka iaitu peningkatan jenama, penambahbaikan rangkaian pengedar, penambahbaikan perkhidmatan selepas jualan, perkembangan program tunggang selamat serta pembangunan pelumba tempatan dan sukan permotoran.
No Comment