Perodua Giat Agresif Dalam Kempen Kerusi Keselamatan Kanak-kanak
Perodua akan bergiat agresif dalam kempen penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak di dalam kenderaan sebelum penguatkuasaan bermula pada tahun 2020.
“Kesedaran dan pematuhan yang masih kurang terhadap penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak di kalangan para pengguna jalan raya Malaysia amat membimbangkan, kerana kanak-kanaklah yang paling terdedah kepada bahaya ketika berada di dalam kenderaan yang bergerak,” kata Naib Presiden Perodua Auto Corporation Sdn Bhd Datuk Ahmad Suhaimi Hashim yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Perodua.
Perodua pada Oktober 2017 telah melancarkan kempen keselamatan jangka panjang dengan semua pengguna jalan raya, terutamanya para pelanggannya, sebagai sasaran.
Turut dilancarkan pada masa itu adalah Kerusi Keselamatan Kanak-Kanak ISOFIX GearUp dalam dua model – Kerusi Infant dan Kerusi Toddler. Kerusi Infant sesuai untuk bayi yang beratnya sehingga 13 kg dan boleh didapati dalam warna merah atau kelabu, manakala Kerusi Toddler adalah untuk kanak-kanak yang beratnya antara 9-36 kg dan ditawarkan dalam warna merah atau hitam.
Sepanjang Ramadan, Perodua akan menjalankan kempen untuk mendidik, memberi kesedaran serta mempromosikan kepentingan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak di dalam kenderaan, terutamanya semasa perjalanan balik kampung untuk berhari raya, kata Datuk Suhaimi.
Bersempena dengan ini, bermula 13 Mei hingga 30 Jun, Perodua akan menawarkan Kerusi Keselamatan Kanak-Kanak ISOFIX GearUp dengan harga promosi RM660 untuk Kerusi Infant dan RM780 untuk Kerusi Toddler, masing-masing dikurangkan daripada RM785 dan RM975.
Di samping itu, Perodua turut mengalu-alukan orang ramai untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai kempen selepas jualan terkini yang menawarkan diskaun caj buruh sebanyak 50% apabila pelanggan membelanjakan RM170 dan ke atas.
“Tawaran ini boleh didapati di semua pusat servis sah Perodua di seluruh negara pada 14, 16, 21 dan 23 Mei (1 petang – 5 petang), 27-31 Mei (8 pagi – 5 petang) dan 3 Jun (8 pagi – 5 petang).
No Comment