Bermaz Motor Lancar Mazda MX-5 RF Facelift
Bermaz Motor telah melancarkan Mazda MX-5 RF versi facelift bagi pasaran Malaysia. Model ini bukan sahaja hadir dengan kelengkapan yang diperbaharui, malah ia juga lebih berkuasa berbanding sebelum ini.
Bermula dari bahagian dalam, MX-5 RF kini didatangkan dengan ciri Apple CarPlay dan Android Auto secara standard yang boleh diakses menerusi paparan Mazda Connect. Ini membolehkan pemandu menggunakan aplikasi-aplikasi popular seperti Waze, Google Maps, Spotify serta pelbagai fungsi telefon pintar.
Walaupun kuasa bukan fokus utama MX-5, model terbaru ini mempunyai 181 hp pada 7,000 rpm dan 205 Nm pada 4,000 rpm, iaitu 23 hp dan 5 Nm lebih tinggi berbanding sebelum ini. Ini menjadikan ia lebih pantas dan responsif, selari dengan falsafah Jinba Ittai yang diamalkan oleh jenama itu.
Bukan itu sahaja, MX-5 RF juga mendapat rim 17 inci baharu dalam kemasan metalik hitam dan stereng teleskopik dengan 42 mm pergerakan. Warna-warna yang ditawarkan adalah Soul Red Crystal, Machine Grey, Jet Black, Snowflake White Pearl, Eternal Blue, Ceramic Metallic dan Arctic White.
MX-5 RF ditawarkan dalam versi CBU Jepun dengan harga jualan (On-the-Road tanpa insurans) bermula RM260,354 bagi versi automatik dan RM259,154 bagi versi manual. Kedua-dua versi didatangkan dengan jaminan pengeluar selama lima tahun/100,000 km dan penyelenggaraan percuma juga untuk lima tahun/100,000 km.
No Comment