Lexus LC 500 Inspiration Series (2020) Tampil Warna Hijau Elegan
Lexus secara rasminya mendedahkan LC 500 Inspiration Series versi 2020. Jika edisi tahun lalu tampil dengan warna Flare Yellow yang terang benderang, edisi terbaru ini membawa imej yang lebih elegan menerusi warna Nori Green Pearl. Warna baharu ini dipadankan pula dengan rim dua-tona berukuran 21 inci.
Bahagian dalaman model ini turut diserlahkan lagi dengan kehadiran upholsteri kulit analine dalam warna Bespoke Saddle Tan yang membaluti tempat duduk, serta kemasan Alcantara yang terdapat pada panel pintu.
Bukan itu sahaja, kemasan kulit Black Amber dengan jahitan berwarna perang pada stereng, papan pemuka, konsol tengah dan pintu memberikan imej dua tona yang eksklusif. Sebagai sentuhan penyudah, model ini turut sill plate custom dengan corak geometri yang diinspirasikan oleh lampu belakang LC 500.
Kuasa kekal seperti sebelum ini iaitu 471 hp yang dibekalkan oleh enjin 5.0-liter V8. Dengan transmisi automatik 10 kelajuan yang memacu roda belakang, jentera ini boleh memecut dari 0 hingga 96 km/j dalam 4.4 saat.
LC 500 Inspiration Series akan ditawarkan untuk pasaran Amerika Syarikat sahaja dalam bilangan yang terhad iaitu 100 unit.
No Comment