Nissan Patrol 2020 – Lebih Mewah, Lebih Canggih
Nissan Patrol versi 2020 telah diperkenalkan secara rasmi dan kali ini pesaing kepada Toyota Land Cruiser itu tampil lebih mewah dan selesa, serta dengan lebih banyak kelengkapan keselamatan termasuk teknologi Nissan Intelligent Mobility.
Bermula dengan bahagian hadapan, Patrol menampilkan jeriji V-motion yang diapit oleh lampu LED dalam bentuk boomerang. Bentuk yang sama juga digunakan untuk lampu belakang, yang kini mempunyai lampu isyarat berjujukan. Bar krom yang memaparkan nama model memberikan SUV ini penampilan yang mewah dan berani.
Bahagian kabin turut menampilkan suasana mewah menerusi upholsteri kulit dan jahitan bercorak berlian pada tempat duduk dan roda stereng. Konsol tengah direka semula dan kini menempatkan paparan berkembar yang menawarkan ciri Apple CarPlay dan Android Auto bagi memastikan penumpang sentiasa terhubung.
Menurut Nissan, kabin Patrol lebih senyap dan kurang bergegar jika dibandingkan dengan versi terdahulu. Dan oleh kerana model ini sangat popular di kawasan-kawasan beriklim panas seperti benua Afrika dan Timur Tengah, Nissan turut menambahbaik sistem pendingin hawa dan pengagihan aliran udaranya.
Bagi 2020, Patrol ditawarkan dengan dua pilihan enjin iaitu 4.0-liter V6 dengan 275 hp dan 394 Nm, dan 5.6-liter V8 dengan 400 hp dan 560 Nm. Sistem All Mode 4X4 membolehkan pemandu menukar mod untuk pemanduan atas jalan atau off-road, manakala sistem Hydraulic Body Motion Control yang didatangkan standard pada varian V8 menjadikan pemanduan lebih selesa terima kasih kepada sistem gantungan yang dipertingkatkan.
Seperti yang dinyatakan, Patrol kini mendapat teknologi Nissan Intelligent Mobility yang merangkumi ciri Intelligent Emergency Braking dengan pengesanan pejalan kaki dan juga Intelligent Forward Collision Warning.
No Comment