Toyota Lancar GR Supra 2.0 di Eropah
Sejak dilancarkan di Eropah, Toyota GR Supra menerima sambutan yang memberangsangkan dengan 1,150 unit terjual setakat hujung tahun lalu. Kini, dalam usahanya untuk menarik lebih ramai pelanggan, Toyota telah melancarkan varian 2.0-liter untuk pasaran benua tersebut.
Bakal memasuki pasaran secara rasmi bermula Mac ini, varian terbaru itu dikuasakan oleh enjin turbo 2.0-liter empat silinder dengan output berjumlah 258 hp dan 400 Nm.
Dengan transmisi automatik lapan kelajuan keluaran ZF yang memacu roda belakang, jentera itu mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.2 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.
Untuk perbandingan, GR Supra 3.0-liter yang mempunyai 340 PS dan 500 Nm boleh melakukan pecutan tersebut dalam 4.3 saat, dengan kelajuan maksimum yang sama.
Kehadiran enjin yang lebih kecil secara langsung mengurangkan berat keseluruhan GR Supra sebanyak 100 kg. Menurut Toyota, ini membolehkan kereta sport itu mengekalkan keseimbangan berat 50:50 untuk pengendalian yang lebih responsif.
Dari segi kelengkapan, GR Supra 2.0 hadir dengan spesifikasi Live yang merangkumi rim aloi 18 inci, sistem audio dengan empat pembesar suara dan skrin 8.8 inci, serta upholsteri Alcantara.
Pelanggan boleh mendapatkan pakej Connect yang memberikan penambahan sistem navigasi atau pakej Sport yang merangkumi differential aktif, sistem suspensi adaptif dan sistem brek sport.
Sementara itu, pakej Premium pula menambah ciri-ciri keselesaan seperti sistem audi JBL dengan 12 pembesar suara, paparan ‘head up’, pengecas telefon wayarles, upholsteri kulit dan ciri pelarasan tempat duduk dengan tetapan memori.
Bukan itu sahaja, 200 pelanggan terawal boleh mendapatkan GR Supra edisi Fuji Speedway yang hadir dengan warna luaran metalik, rim aloi 19 inci berwarna hitam, cermin sisi berwarna merah, kemasan gentian karbon pada papan pemuka dan upholsteri Alcantara berwarna hitam dan merah.
No Comment