Sukan

Kejohanan US Legend Cars Malaysia Bermula Mac Ini

Kejuaraan US Legend Cars Malaysia bakal bermula Mac ini dengan enam pusingan dijadualkan untuk musim tahun ini. Kesemua pusingan akan diadakan di T-City Gopeng Motor Speedway di Perak, satu-satunya litar bujur di Malaysia.

US Legend Cars Malaysia

Kejohanan tahun ini bakal menampilkan kelas Legend untuk pemandu amatur dan profesional, dan kelas Bandolero untuk kanak-kanak berusia 8 hingga 15 tahun.

Ini merupakan kali pertama kelas Legend dan Bandolero diperkenalkan sebagai kejohanan sepenuhnya sejak ia diperkenalkan pada 2018.

Kelas Legend akan dibahagikan kepada tiga kategori untuk pemandu novis, kebangsaan dan antarabangsa, manakala kelas Bandolero adalah hanya untuk pemandu novis. Setakat ini, kejohanan ini telah menarik penyertaan dari Malaysia, Australia, China dan Hong Kong.

Bagi kelas Legend, peserta akan berentap dengan memandu jentera yang dikuasakan oleh enjin Yamaha FJ1200 dengan 132 bhp, dengan berat minimum (kereta + pemandu) 590 kg.

Sementara itu, kereta lumba kelas Bandolero menampilkan enjin Briggs & Stratton Vanguar berkuasa 30 bhp dengan berat minimum 340 kg.

Semua kereta kelas Legend dan Bandolero dihasilkan oleh US Legend Cars International, Inc. dan kejohanan disahkan INEX Malaysia.

Yuran penyertaan untuk kelas Legend dan Bandolero masing-masing adalah sebanyak RM3,000 dan RM2,000 setiap pusingan. Ini termasuk kos persiapan dan sewa kereta lumba, minyak, tayar, ped brek, sokongan teknikal dan akses ke suite hospitaliti.

Pusingan 1 akan diadakan pada 13 Mac, diikuti oleh pusingan 2 dari 17-18 April; pusingan 3 dari 19-20 Jun; pusingan 4 dari 17-18 Julai; pusingan 5 dari 21-22 Ogos dan pusingan 6 dari 25-26 September.

Untuk menyertai dan mendapat maklumat lanjut, hubungi Pengarah Sukan Bermotor US Legend Cars Malaysia C.H. Loh di talian 019-3586868, emel ke mmsc.malaysia@yahoo.com atau hubungi ibu pejabat US Legend Cars Malaysia di +605-2413560 atau emel ke uslcmy@gmail.com.

Previous post

Toyota Lancar GR Supra 2.0 di Eropah

Next post

Yamaha X-Max 250 Kini Dengan Warna Matte Baharu

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *