Kia Dedah Perincian Sorento 2021
Selepas menyiarkan gambar-gambar rasmi Sorento beberapa hari lalu, kini Kia mendedahkan pula beberapa perincian mengenai model generasi keempat itu.
Menurut syarikat itu, saiz Sorento baharu lebih panjang sebanyak 10 mm, manakala jarak roda turut bertambah sebanyak 35 mm, menjadikan ukuran terkini 2,815 mm.
Selain itu, Kia turut mengemas kini bentuk keseluruhan SUV ini dengan meletakkan tiang A 30 mm ke belakang dan memberikan ‘overhang’ hadapan dan belakang yang lebih pendek.
Buat pertama kalinya, Sorento ditawarkan dengan enam tempat duduk dengan dua tempat duduk individu pada barisan kedua. Pelanggan bagaimanapun masih boleh memilih versi tujuh tempat duduk.
Bagi pilihan enjin pula, Kia akan menawarkan varian hibrid yang menggunakan enjin turbo petrol 1.6 T-GDi dan sebuah motor elektrik. Gandingan ini menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 227 hp dan 350 Nm.
Turut ditawarkan adalah enjin 2.5 T-GDi dengan 277 hp dan 421 Nm dan enjin diesel SmartStream 2.2 dengan 199 hp dan 440 Nm. Kedua-dua enjin ini dipadankan dengan transmisi klac berkembar lapan kelajuan yang menggantikan unit tujuh kelajuan yang digunakan sebelum ini.
Antara ciri keselamatan yang disertakan adalah lapan beg udara dan Multiple Collision Avoidance Automatic Braking System yang ditugaskan untuk menekan brek secara automatik selepas berlakunya perlanggaran pertama.
Sorento dibina berasaskan platform serba baharu. Biarpun mempunyai saiz yang lebih besar, Kia berjaya mengurangkan berat keseluruhan sebanyak 80 kg menerusi penggunaan bahan ringan dalam pembinaannya.
No Comment