Ford Mustang RTR Spec 5 Hadir Dengan 750 hp, 908 Nm
Sempena ulang tahunnya yang ke-10, syarikat talaan terkenal RTR memperkenalkan model edisi terhad Mustang RTR Spec 5 yang dihasilkan dengan kerjaama Ford Lebanon.
RTR yang merupakan singkatan kepada ‘Ready to Rock’ diasaskan oleh pemandu Formula D, Vaughn Gitten Jr.
Ini bukan kali pertama RTR menghasilkan pakej naik taraf prestasi untuk Mustang. Dalam barisan model RTR, Spec 1 tampil penambahbaikan luaran, Spec 2 mendapat tambahan sistem suspensi sementara Spec 3 pula dilengkapi dengan supercharger yang menyaksikan kuasa meningkat kepada 700 hp dan 827 Nm.
Terhad kepada 10 unit sahaja, Mustang RTR Spec 5 hadir dengan supercharger Ford Performance Phase 2 yang memberikan kuasa tambahan sebanyak 50 hp dan 81 Nm, menjadikan kuasa keseluruhan terbaru 750 hp dan 908 Nm.
Bukan itu sahaja, pakej ini turut merangkumi komponen enjin dan transmisi yang diperkuatkan serta sistem suspensi RTR Tactical Performance. Gabungan kit badan lebar dan rim RTR Aero 7 yang dibalut tayar Nitto NT555 G2 pula memberikan jentera ini penampilan yang lebih agresif.
Di dalam, pelanggan mendapat tombol gear dan karpet RTR, serta plak nombor siri pada bahagian pemuka lengkap dengan tandatangan Vaughn Gittin Jr.
Pakej naik taraf prestasi ini dikatakan berharga kira-kira $50,000 (RM217,525) tidak termasuk kos Mustang itu sendiri.
No Comment