Maserati Levante Trofeo Terima Sentuhan Magis Novitec
Dengan 590 hp dan 730 Nm, Maserati Levante Trofeo adalah antara SUV paling berkuasa yang ada di pasaran sekarang. Tetapi jika ada yang merasa jumlah itu tidak cukup tinggi, Novitec sedia memenuhi keinginan mereka.
Memperkenalkan Novitec Maserati Levante Esteso yang mempunyai 624 hp dan 820 Nm daripada enjin 3.8-liter twin-turbo V8 yang sama cuma telah ditala. Dengan kuasa baharu ini, jentera ini memerlukan 3.8 saat untuk mencapai kelajuan 100 km/j dan boleh memecut sehingga 309 km/j.
Sebagai perbandingan, Levante Trofeo versi standard melakukannya dalam masa 3.9 saat dengan kelajuan maksimum 300 km/j sahaja.
Levante Esteso bukan sahaja lebih laju, malah penampilannya juga menjadi lebih agresif terima kasih kepada kit badan lebar dengan ukuran lebar tambahan sebanyak 10 cm di hadapan dan 12 cm di belakang.
Menurut Novitec, kit badan tersebut mempunyai lapan komponen kesemuanya termasuk sambungan pada gerbang roda hadapan dan belakang serta ‘rocker panel. Pelanggan juga boleh mendapatkan spoiler dan skup bonet gentian karbon.
Bukan itu sahaja, penggunaan sistem suspensi udara juga menjadikan SUV ini lebih rendah sebanyak 25 cm. Rim aloi Y-spoke berukuran 22 inci lengkap dengan ‘centre lock’ memberikan Levante Esteso imej yang lebih sporty.
Rim tersebut boleh didapati dalam kemasan hitam matte atau hitam berkilat, dan dipadankan dengan tayar berukuran 295/30 di hadapan dan 335/25 di belakang.
No Comment