Berita Auto

Acura TLX 2021 Muncul Dengan Platform dan Enjin Turbo Baharu

Acura TLX generasi kedua telah diperkenalkan dengan platform dan barisan enjin turbo baharu serta varian Type S yang dibangkitkan semula. Entiti mewah yang bernaung di bawah Honda ini menggelarkan TLX sebagai sedan terpantas dan paling lincah dalam sejarahnya.

Menurut Acura, TLX menggunakan casis yang direka khas untuk prestasi yang tidak dikongsi dengan mana-mana model lain. Ketegaran casis tersebut meningkat sebanyak 50 peratus berbanding sebelum ini dan mengandungi 56 peratus bahan ringan termasuk aluminium.

Dari segi reka bentuk, model ini jelas direka dengan inspirasi daripada Precision Concept dan Type S Concept. Jika dibandingkan dengan model generasi pertama, TLX generasi kedua adalah 2.2 inci lebih lebar dan 0.6 inci lebih rendah. Jarak roda turut berkembang sebanyak 3.7 inci.

Sebagai varian lebih sporty, TLX Type S menampilkan karakter yang lebih agresif menerusi splitter pada bampar hadapan dan diffuser belakang, lubang ambilan udara yang lebih besar, spoiler, ekzos berkembar serta rim 20 inci.

Varian ini dikuasakan oleh enjin turbo bersesaran 3.0-liter dengan silinder dalam susunan V6. Acura masih belum mendedahkan jumlah kuasa yang dihasilkan oleh enjin ini, namun mendakwa ia mempunyai kuasa yang lebih tinggi dan 50 peratus lebih tork berbanding enjin NA 3.5-liter V6 sekarang.

Sementara itu, varian asas pula hadir dengan enjin VTEC Turbo 2.0-liter empat silinder dengan 272 hp dan 380 Nm, mewakili peningkatan sebanyak 66 hp dan 132 Nm berbanding enjin NA 2.4-liter empat yang digunakan sebelum ini.

Kedua-dua enjin ini digandingkan dengan transmisi automatik 10 kelajuan baharu. Dilengkapi dengan Sequential SportShift, ia dikatakan lebih pantas dan lancar jika dibandingkan dengan transmisi DCT lapan kelajuan dan automatik sembilan kelajuan yang terdahulu.

Selain sistem suspensi double wishbone dan multilink, aspek pengendalian TLX turut diperkukuhkan menerusi sistem pacuan semua roda Super Handling All-Wheel Drive (SH-AWD) yang ditugaskan untuk membahagikan tork antara gandar hadapan dan belakang, serta roda kiri dan kanan gandar belakang.

Sistem ini boleh menyalurkan sehingga 70 peratus tork ke roda belakang dalam pemanduan biasa. Ia didatangkan secara standard pada TLX Type S dan boleh juga dipesan pada varian asas.

Selain itu, TLX juga didatangkan dengan Integrated Dynamics System yang merangkumi mod Comfort, Normal, Sport, Sport+ (Type S sahaja) dan Individual.

Previous post

Lamborghini Sian FKP 37 Kini Dalam Versi LEGO

Next post

Kenderaan Kemalangan Dapat Penjagaan Ekstra Dari Allianz General

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *