VOTY 2020//Sedan Mewah Tahunan – BMW 7 Series
Tidak seperti sebelum ini, 740Le versi facelift (atau LCI dalam bahasa BMW) hadir dengan enjin enam silinder dan ini bermakna ia mempunyai perwatakan pemanduan yang lebih garang. Ini bersesuaian dengan reka bentuknya yang kini lebih segak dan bergaya. Jeriji kidney’ yang besar itu pada mulanya tampak janggal, namun lama-kelamaan ia akan mula nampak sebati dengan keseluruhan reka bentuk 7 Series dan tidak lagi menjadi isu.
Seperti yang dijangka, pengalaman ketika berada di dalam sedan ini adalah sesuatu yang tidak mungkin dapat dilupakan. Gabungan upholsteri kulit Nappa, ‘headliner’ Alcantara dan sistem pencahayaan ambien melahirkan suasana mewah yang hanya boleh dialami di hotel-hotel lima bintang. Melengkapkan pengalaman yang berharga ini adalah sistem audio Harman Kardon yang mempunyai 16 pembesar suara. Kualiti audio yang disampaikan membuatkan kami seperti berada di dalam studio rakaman. Dalam aspek ini, 7 Series memang tidak boleh dikalahkan.
Dari segi pemanduan, 740Le menetapkan penanda aras dari segi keselesaan dan pengendalian terima kasih kepada teknologi casis yang canggih yang dikenali sebagai Carbon Core. Transmisi disambungkan dengan sistem navigasi, kamera dan radar bagi membolehkan sistem mula-henti dan pelayaran (coasting) digunakan dengan lebih efisyen.
Apa yang mengagumkan, semua ini boleh dinikmati pada harga kurang RM600,000. Ini menjadikannya tawaran yang tidak boleh diendahkan, lebih-lebih lagi apabila pesaingnya semua dijual pada harga yang lebih mahal.
Spesifikasi BMW 740Le xDrive
Enjin: 16-injap, empat silinder DOHC, motor elektrik
Kapasiti: 2,998 cc
Kuasa: 282 hp @ 5,000 rpm (113 hp elektrik)
Tork: 450 Nm @ 1,500 rpm (265 Nm elektrik)
Transmisi: Automatik 8 kelajuan
0-100 km/j: 5.1 saat
Kelajuan maksimum: 250 km/j
Harga: RM594,800
Bagaimana pemenang Vehicle of the Year (VOTY) dipilih:
Proses kami mudah dan telus.
Semua kereta yang dilancarkan dalam tempoh 13 bulan dari 2019 adalah layak. Kami menghubungi semua syarikat kereta yang beroperasi di negara ini untuk meminta kenderaan untuk dipandu uji. Tiada yuran penyertaan dan syarikat tidak perlu membeli meja untuk majlis tersebut. Apa yang diperlukan adalah kereta baharu dan kebenaran untuk kami mengujinya.
Kira-kira sebulan sebelum acara berlangsung, keempat-empat juri dari DSF.my dan gohedgostan.com (Daniel Sherman Fernandez, Ross Hadi, Subhash Nair dan Amirul Mukminin) membincangkan pemenang bagi setiap kategori. Juri hanya boleh mengundi kereta yang telah diuji. Mana-mana model yang mendapat majoriti mudah akan dipilih sebagai pemenang kategori masing-masing.
Penaja utama kami iaitu Allianz mengiktiraf integriti pasukan kami dan semua pihak yang terlibat dalam menentukan pemenang. Kami berharap anda menghargai usaha setiap pihak yang terlibat dan memberi maklum balas bagaimana anugerah ini boleh dimantapkan lagi pada masa akan datang.
Tahun ini, disebabkan pandemik COVID-19, kami terpaksa menangguhkan acara penyampaian anugerah VOTY dan telah memilih untuk menstrim acara tersebut secara langsung menerusi Facebook dan Youtube. Ini menjadikan VOTY acara anugerah automotif pertama yang distrim secara langsung di rantau ASEAN.
No Comment