Berita Auto

VOTY 2020//Kereta Sport Tahunan – Toyota GR Supra

Adil jika dikatakan bahawa Supra generasi kelima merupakan kereta yang paling ditunggu-tungu pada tahun lalu. Ini bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana kereta sport ini berstatus lagenda dan mempunyai pengikut yang besar bukan sahaja di negara kelahirannya malah di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Seperti yang dijangka, versi terbaru model ini hadir dengan pembaharuan menyeluruh yang melibatkan reka bentuk dan prestasi. Pertama, ia kini dikenali sebagai GR Supra, di mana ‘GR’ adalah singkatan kepada divisyen sukan permotoran Toyota iaitu Gazoo Racing. Kedua, ia dibangunkan dengan kerjasama BMW dan ini termasuk enjinnya yang dibekalkan oleh pengeluar dari Jerman itu.

Toyota GR Supra Malaysia

Walaupun ia bukan 100% Jepun, ini bukanlah sesuatu yang buruk kerana GR Supra tetap sebuah jentera hebat yang mampu memberikan keseronokan memandu. Enjin enam silinder sebaris dengan pengecas turbo keluaran BMW yang digunakan terbukti mampu memberikan jentera ini kuasa yang diperlukan dengan pantas dan lancar. Buat masa ini, tiada gear manual ditawarkan tetapi jangan khuatir kerana transmisi automatik keluaran ZF itu boleh melakukan tugasnya dengan cemerlang.

Satu lagi perkara yang menarik tentang Supra adalah ia mempunyai pembahagian berat yang ideal iaitu 50:50. Ditambah dengan sistem suspensi adaptif dan LSD yang dikawal secara elektronik, jentera ini bagaikan memahami setiap input yang diberikan pada stereng sekaligus menjadikan ia mudah dikendalikan dan lincah di jalan-jalan yang berselekoh.

Spesifikasi Toyota GR Supra

Enjin: turbo enam silinder sebaris, DOHC
Kapasiti: 2,998 cc
Kuasa: 335 hp @ 5,000 rpm
Tork: 500 Nm @ 1,500 rpm
Transmisi: automatik lapan kelajuan
0-100 km/j: 4.3 saat
Kelajuan maksimum: 250 km/j
Harga: RM568,000

Bagaimana pemenang Vehicle of the Year (VOTY) dipilih:

Proses kami mudah dan telus.

Semua kereta yang dilancarkan dalam tempoh 13 bulan dari 2019 adalah layak. Kami menghubungi semua syarikat kereta yang beroperasi di negara ini untuk meminta kenderaan untuk dipandu uji. Tiada yuran penyertaan dan syarikat tidak perlu membeli meja untuk majlis tersebut. Apa yang diperlukan adalah kereta baharu dan kebenaran untuk kami mengujinya.

Kira-kira sebulan sebelum acara berlangsung, keempat-empat juri dari DSF.my dan gohedgostan.com (Daniel Sherman Fernandez, Ross Hadi, Subhash Nair dan Amirul Mukminin) membincangkan pemenang bagi setiap kategori. Juri hanya boleh mengundi kereta yang telah diuji. Mana-mana model yang mendapat majoriti mudah akan dipilih sebagai pemenang kategori masing-masing.

Penaja utama kami iaitu Allianz mengiktiraf integriti pasukan kami dan semua pihak yang terlibat dalam menentukan pemenang. Kami berharap anda menghargai usaha setiap pihak yang terlibat dan memberi maklum balas bagaimana anugerah ini boleh dimantapkan lagi pada masa akan datang.

Tahun ini, disebabkan pandemik COVID-19, kami terpaksa menangguhkan acara penyampaian anugerah VOTY dan telah memilih untuk menstrim acara tersebut secara langsung menerusi Facebook dan Youtube. Ini menjadikan VOTY acara anugerah automotif pertama yang distrim secara langsung di rantau ASEAN.

Previous post

Anugerah VOTY LIVE Di FB DSF.my Pada 9 Julai 2020 11 pagi

Next post

VOTY 2020//Crossover Tahunan - Mazda CX-30

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *