Ford Bronco Muncul Semula Selepas 24 Tahun
Salah satu SUV yang paling popular di Amerika Syarikat iaitu Ford Bronco akhirnya kembali ke pasaran negara itu selepas 24 tahun. Dibangunkan khas untuk gaya hidup aktif, model generasi keenam ini ditawarkan dalam versi dua dan empat pintu.
Enjin standard adalah EcoBoost 2.3-liter empat silinder yang menghasilkan 270 hp dan 420 Nm. Ia dipadankan dengan transmisi manual tujuh kelajuan (6+1). Transmisi automatik 10 kelajuan SelectShift ditawarkan secara opsyen.
Untuk prestasi yang lebih tinggi, pelanggan boleh mendapatkan enjin EcoBoost 2.7-liter V6 dengan 310 hp dan 542 Nm. Bagaimanapun, ia hanya ditawarkan dengan transmisi automatik 10 kelajuan tersebut.
Kedua-dua enjin dipadankan dengan sistem pacuan empat roda (4X4) yang boleh didapati dalam versi Base atau Advanced. Base menggunakan transfer case shift-on-the-fly elektronik dua kelajuan, manakala Advanced pula menggunakan ‘transfer case’ elektromekanikal dua kelajuan dengan mod auto untuk memilih gear 2H dan 4H.
Bronco didatangkan dengan tujuh mod pemanduan iaitu Normal, Eco, Sport, Slippery and Sand, Baja, Mud/Ruts dan Rock Crawl. Ia juga mempunyai ciri Trail Control, Trail Turn Assist dan Trail One-Pedal Drive.
Model ini dikatakan mempunyai kebolehan pemanduan off-road yang terbaik dalam kelasnya dengan jarak kelegaan tanah 11.6 inci, keupayaan meredah air sehingga 33.5 inci, sudut ‘breakover’ maksimum 29 darjah dan sudut pelepasan 37.2 darjah.
Bronco dibina menggunakan casis keluli berkekuatan tinggi yang dipadankan dengan sistem suspensi jenis bebas (independent) pada bahagian hadapan dan ‘solid axle’ pada bahagian belakang. Peredam jenama Bilstein turut ditawarkan.
Di dalam, panel instrumen diinspirasikan oleh model generasi pertama dengan tolok yang jelas dan intuitif. Antara kelengkapan yang disediakan adalah panel instrumen LCD dan paparan berukuran 12 inci dengan sistem infotainmen SYNC 4.
Bronco ditawarkan dengan tujuh pilihan trim iaitu Base, Big Bend, Black Diamond, Outer Banks, Wildtrak, Badlands dan First Edition. Setiap trim didatangkan dengan spesifikasi yang berlainan. Harga bermula dari $29,995 (RM128,065) untuk versi dua pintu dan $34,695 (RM148,130) untuk versi empat pintu.
No Comment