Subaru WRX dan WRX STI Generasi Seterusnya Bakal Hadir Dengan Enjin 2.4L
Subaru WRX dan WRX STI generasi seterusnya akan tampil dengan enjin turbo 2.4-liter keluaran jenama itu, demikian menurut laporan laman web dari Jepun iaitu Car Sensor.
Enjin tersebut merupakan salah satu daripada tiga enjin turbo yang akan diguna pakai oleh 80% daripada model dalam barisan Subaru menjelang 2021. Dua lagi enjin tersebut adalah enjin 1.8-liter yang akan digunakan oleh Levorg baharu dan enjin 1.5-liter yang akan menggantikan enjin NA 2.0-liter sedia ada.
Berbalik kepada enjin 2.4-liter FA24 itu, ia sebenarnya boleh didapati pada model Ascent, Legacy dan Outback dalam versi 260 hp dan 376 Nm. Untuk WRX dan WRX STI, enjin tersebut dilaporkan akan ditala bagi menjana 400 hp dan 490 Nm.
Menurut Car Sensor, terdapat tiga sebab mengapa Subaru akan beralih kepada enjin 2.4-liter itu. Pertama, bagi memastikan ia dapat mematuhi piawaian penggunaan bahan api yang semakin ketat.
Sebab kedua adalah berkaitan sukan permotoran. Menurut laporan itu, kini hanya kejohanan rali All Japan yang membenarkan penggunaan enjin 2.0-liter turbo maka Subaru tidak akan meneruskan pembuatan enjin tersebut semata-mata untuk kejohanan itu.
Ketiga, pemilk WRX STI di luar Jepun sudah terbiasa dengan enjin 2.5-liter EJ25 yang mempunyai kelebihan dan ketahanan lebih tinggi berbanding enjin 2.0-liter.
Transmisi manual enam kelajuan akan dikekalkan untuk kedua-dua WRX dan WRX STI. Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada CVT akan terus ditawarkan selepas ini kerana menurut Car Sensor, transmisi tersebut hanya mampu menampung sehingga 400 Nm.
No Comment