BMW X3 M dan X4 M Competition Tiba di Malaysia
Selain M8 Coupe dan M8 Gran Coupe, BMW Malaysia turut memperkembangkan barisan crossover mereka dengan dua model berprestasi tinggi baharu iaitu X3 M Competition dan X4 M Competition.
Nadi bagi kedua-dua model ini adalah enjin twin-turbo 3.0-liter enam silinder sebaris dengan kuasa berjumlah 510 hp dan 600 Nm dari 2,600 hingga 5,950 rpm. Prestasinya juga sama iaitu 4.1 saat untuk pecutan 0-100 km/j dan kelajuan maksimum 250 km/j.
Tugas menyalurkan kuasa diserahkan kepada transmisi M Stepronic lapan kelajuan. Ia dilengkapi dengan teknologi Drivelogic yang menyediakan tiga mod iaitu Efficient, Sport, dan Sport Plus. Transmisi ini dipadankan dengan sistem pacuan semua roda M xDrive yang pintar. Turut disertakan adalah sistem ekzos M Sport, Active M Differential dan sistem brek M Compound.
Sebagai model M sebenar, X3 M Competition dan X4 M Competition hadir dengan kit badan M dengan saluran udara yang besar, muncung ekzos dengan kemasan krom hitam dan set rim aloi ringan berukuran 21 inci. Sistem suspensi Adaptive M memberikan jentera-jentera ini ‘stance’ yang menarik.
Di dalam, suasana sporty dilahirkan menerusi kehadiran trim gentian karbon, ‘paddle shifter’ serta pelbagai komponen M seperti tuil gear M, stereng M dengan balutan kulit, butang M Drive berwarna merah, tali pinggang keledar M, pedal M dan sulaman tiga warna tradisi M.
Antara ciri-ciri yang disertakan termasuklah paparan Head-Up, paparan kawlaan berukuran 10.25 inci dengan tombol iDrive, pengecas telefon pintar dan sistem audio Harman Kardon dengan 16 pembesar suara dan amplifier 600 watt.
Sistem bantuan pemandu pula merangkumi Driving Assistant Plus, Parking Assistant Plus dan Comfort Access. ConnectedDrive Services pula menawarkan Concierge Services, Remote Services, Intelligent Emergency Call dan Apple CarPlay untuk kemudahan pemandu.
Terdapat tujuh warna untuk dipilih bagi X3 M Competition dan X4 M Competition iaitu Alpine White, Black Sapphire, Donington Grey, Phytonic Blue, Sophisto Grey dan Toronto Red. Bergantung kepada warna luaran yang dipilih, ruang kabin boleh dilengkapi dengan upholsteri kulit Merino dalam warna Hitam, Sakhir Orange atau Adelaide Grey.
Harga jualan (atas jalan, tanpa insurans, dan dengan penawaran BMW Group Malaysia bagi Waranti Tanpa Had Perbatuan Bertempoh 5 Tahun, dan Program Servis Berjadual Percuma) adalah RM886,551.58 bagi X3 M Competition dan RM904,276.60 bagi X4 M Competition.
No Comment