Nissan Almera Turbo Dibuka Untuk Tempahan – 3 Varian, Harga Dari RM8X,XXX
Edaran Tan Chong Motor (ETCM) mengumumkan bahawa Nissan Almera Turbo kini sudah dibuka untuk tempahan. Pesaing terdekat Honda City dan Toyota Vios itu boleh didapati dalam tiga varian iaitu VL, VLP dan VLT.
Ketiga-tiga varian dikuasakan oleh enjin turbo 1.0-liter tiga silinder baharu yang menghasilkan 100 PS pada 5,000 rpm dan 152 Nm dari 2,400 hingga 4,000 rpm. Digandingkan dengan transmisi Xtronic CVT dengan D-Step Logic System dan mod Sport, enjin tersebut menawarkan penjimatan bahan api sekitar 18.4 km/l.
Selain enjin turbo baharu, semua varian yang ditawarkan juga mendapat Intelligent Forward Collision Warning (IFCW) dan Intelligent Forward Emergency Braking (IFEB). Sementara itu, varian VLT dilengkapi dengan ciri tambahan Blind Spot Warning (BSW), Rear Cross Traffic Alert (RCTA) dan Intelligent Around View Monitor (I-AVM) dengan Moving Object Detection (I-MOD).
Kini dalam generasi keduanya, Almera Turbo menampilkan reka bentuk lebih menarik dengan gril V-Motion dan lampu utama LED berbentuk boomerang. Dari sisi, konsep rekaan bumbung terapung yang rendah memberikan profail yang kemas.
Jika dibandingkan dengan model terdahulu, sedan segmen B ini lebih 70 mm lebih panjang, 45 mm lebih lebar dan 40 mm lebih rendah. Bukan itu sahaja, jarak antara roda juga bertambah sebanyak 20 mm.
Di dalam, panel instrumen ‘Gliding Wing’ tampil dengan sentuhan krom, kemasan hitam piano dan tekstur bercorak gentian karbon. Stereng ‘flat bottom’ dan papan pemuka yang dibalut material kulit lembut didatangkan standard pada semua varian, manakala skrin sentuh berukuran 8 inci dan kluster instrumen separa digital 7 inci adalah untuk dua varian teratas.
Untuk praktikaliti, ruang kargo mempunyai kapasiti sehingga 482 liter dan kini mempunyai bukaan yang lebih rendah serta luas supaya lebih mudah diakses. Selain itu, tempat duduk belakang juga boleh dilipat dengan konfigurasi 60:40 sekiranya anda perlu membawa barangan yang panjang. Ciri ini tidak terdapat pada Almera pasaran Thailand.
Dari segi keselamatan, Almera Turbo VL didatangkan dengan dua beg udara, manakala VLP dan VLT mendapat enam beg udara. Vehicle Dynamic Control (VDC), Traction Control System (TCS), Anti-lock Braking System (ABS), Brake Assist (BA), Electronic Brake Force Distribution (EBD), Hill Start Assist (HSA) dan cagak Isofix disertakan pada semua varian.
ETCM menawarkan enam pilihan warna iaitu Radiant Red, Monarch Orange, Dark Metal Grey, Brilliant White, Diamond Black dan Tungsten Silver.
Dengan harga anggaran bermula RM8X,XXX hingga RM9X,XXX, Almera Turbo hadir dengan jaminan selama lima tahun tanpa had perbatuan dan lima kali servis percuma, termasuk alat ganti dan kos buruh. Ia dijangkan dilancarkan pada Oktober tahun ini.
No Comment