SSC Tuatara Adalah Kereta Produksi Terpantas Dunia
SSC Tuatara kini dinobatkan sebagai kereta produksi terpantas dunia dengan kelajuan purata mencecah 508.73 km/j, sekaligus mengalahkan pemegang rekod sebelum ini iaitu Koenigsegg Agera RS dengan perbezaan lebih 60 km/j.
Pemanduan bersejarah itu dilakukan oleh Oliver Webb di laluan sepanjang 11 km (State Route 160) di luar Las Vegas, berhampiran Pahrump, Nevada pada 10 Oktober lalu.
Bagi memenuhi syarat untuk mencatat rekod kereta produksi terpantas, Tuatara dipandu sebanyak dua kali pada arah berlawanan. Dalam percubaan pertama, Webb berjaya memandu sehingga kelajuan 484.53 km/j manakala percubaan kedua pula menyaksikan hypercar itu mencecah 532.93 km/j. Oleh itu, kelajuan purata bagi kedua-dua percubaan tersebut iaitu 50.8.73 km/j dikira sebagai rekod.
Rekod tersebut disahkan oleh pegawai bertauliah yang hadir, dibantu dengan ukuran daripada GPS Dewetron serta 15 buah satelit. Selain itu, SSC juga perlu mematuhi syarat-syarat berikut bagi memastikan percubaan mereka sah:
- Kereta yang digunakan adalah versi produksi yang sama dengan kereta yang mungkin dibeli oleh pelanggan
- Percubaan mesti dilakukan di atas jalan raya awam bagi memastikan kondisi dunia sebenar yang mungkin tidak terdapat di litar lumba atau landasan
- Menggunakan tayar jalanan dan bahan api bukan perlumbaan (non-race fuel)
Tuatara dikuasakan oleh enjin 5.9-liter twin-turbo V8 yang menghasilkan 1,750 hp dengan bahan api E85 atau 1,350 hp dengan minyak RON 91. Kuasa tersebut disalurkan menerusi transmisi manual berkomputer (AMT) tujuh kelajuan.
Direka dengan kerjasama Jason Castriota dari Castriota Design, reka bentuk Tuatara yang anggun menghasilkan pekali seret 0.279 yang dikatakan terbaik dalam segmen hypercar.
Hasilnya, jentera ini mampu mengekalkan keseimbangan aerodinamik yang sempurna iaitu 37% di depan dan 63% di belakang pada kelajuan dari 241 hingga 531 km/h, sekaligus memastikan ‘downforce’ yang tepat pada keempat-empat tayar.
No Comment