Honda MSX125 Grom Diperbaharui Untuk Model Tahun 2021
Sejak diperkenalkan tujuh tahun yang lalu, Honda MSX125 Grom berjaya menarik hati ramai peminat, bukan sahaja di benua Asia malah juga di Eropah. Bagi mengekalkan popularitinya, model kecil tersebut telah ditambahbaik untuk model 2021.
MSX125 Grom kini menampilkan reka bentuk lampu LED baharu serta panel badan dan pelindung tangki yang mudah ditukar, khas untuk golongan muda yang berjiwa custom. Tempat duduk dan ‘subframe’ turut direka semula untuk model baharu ini.
Dari segi teknikal, enjin silinder tunggal berkapasiti 125 cc masih menghasilkan 9.6 hp pada 7,250 rpm dan 10.5 Nm pada 5,500 rpm seperti sebelum ini. Bagaimanapun, Honda telah menambah satu lagi gear menjadikan ia lima gear kesemuanya.
Casis juga sama seperti model terdahulu dengan fork USD 31 mm pada bahagian hadapan dan monoshock di belakang. Ketinggian tempat duduk pula adalah 761 mm, manakala tangki bahan api adalah 6 liter.
Sementara itu, sistem brek pula terdiri daripada cakera 220 mm dengan angkup piston berkembar di hadapan, dan cakera 190 mm dengan angkup piston tunggal di belakang.
Menurut Honda, jualan MSX125 Grom setakat ini telah melebihi 750,000 unit di peringkat global.
No Comment