Lamborghini Huracan EVO Fluo Capsule Untuk Mereka Yang Berani
Mengenali majoriti pelanggannya begitu gemar menonjolkan diri, Lamborghini telah memperkenalkan Huracan EVO Fluo Capsule, sebuah koleksi warna yang terang dan berani untuk supercar berenjin V10 itu.
Koleksi Fluo ini menawarkan lima warna menarik iaitu Verde Shock (hijau), Arancio Livrea (oren), Celeste Fedra (biru), Arancio Dac (oren) dan Giallo Clarus (kuning). Kelima-lima warna ini dipadankan dengan warna hitam matte pada bumbung, bampar hadapan dan skirt sisi.
Untuk menyerlahkan lagi penampilan model ini, Lamborghini turut mengenakan jalur warna badan pada cermin sisi dan bilah ‘diffuser’ pada bahagian belakang.
Untuk ruang dalaman pula, hitam digunakan sebagai warna utama, manakala penutup butang penghidup enjin dan logo Lamborghini pada perehat kepala didatangkan dalam warna yang sama dengan warna luaran. Selain itu, model ini juga mendapat kerusi sport baharu dengan balutan Alcantara atau kulit dengan trim EVO sportivo.
Seperti Huracan EVO standard, versi Fluo ini dikuasakan oleh enjin NA 5.2-liter V10 yang menghasilkan 640 hp dan 600 Nm. Dengan transmisi automatik tujuh kelajuan, ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 2.9 saat dengan kelajuan maksimum melebihi 325 km/j.
No Comment