Foto Ruang Kabin, Enjin P1800 Cyan Racing Didedahkan
Pada September lalu, Cyan Racing membuat kejutan dengan memperkenalkan interpretasi moden Volvo P1800. Namun pada ketika itu, hanya gambar luaran yang didedahkan. Kini, syarikat itu telah menyiarkan beberapa foto yang memperlihatkan bahagian kabin serta ruang enjin jentera itu.
Seperti yang boleh dilihat, ruang kabin P1800 Cyan menggabungkan elemen moden dan retro dengan susun atur yang tidak jauh berbeza jika dibandingkan dengan model asal. Rekaan papan pemuka yang ringkas menempatkan lima tolok meter, dua di hadapan pemandu dan selebihnya pada bahagian tengah.
Selain itu, terdapat juga kemasan kulit di atas papan pemuka, sangkar keselamatan titanium, kerusi bucket, stereng Momo dan tuil gear manual.
Seperti yang telah dilaporkan sebelum ini, P1800 Cyan menampilkan enjin turbo 2.0-liter empat silinder yang menghasilkan 420 PS pada 7,000 rpm dan 455 Nm pada 6,000 rpm. Buka hud jentera lumba Volvo S60 TC1 dan anda jumpa enjin yang sama.
Kereta klasik seperti P1800 tidak terkenal dengan aspek pengendalian yang mantap. Oleh itu, Cyan Racing telah menaik taraf casis dengan menggunakan stereng ‘rack and pinion’, komponen aluminium pada sistem suspensi serta peredam boleh laras.
Syarikat itu menambah kelebaran antara roda kiri dan kanan, di samping menggunakan bahan ringan seperti keluli berkekuatan tinggi dan gentian karbon pada bahagian badan. Hasilnya, P1800 mempunyai berat keseluruhan 990 kg sahaja.
Sistem brek pula terdiri daripada cakera berukuran 362 mm di hadapan dan 330 mm di belakang, manakala tayar yang digunakan adalah Pirelli P Zero. Ketiadaan sistem bantuan pemandu seperti ABS, kawalan kestabilan dan ‘booster’ brek menjanjikan pengalaman pemanduan yang sebenar.
No Comment