Honda Civic Generasi ke-11 Tampil Rekaan Lebih Matang
Seperti yang dijanjikan, Honda telah mendedahkan rekaan Civic generasi ke-11 menerusi platform penstriman langsung Twitch dan juga Youtube.
Walaupun masih dalam peringkat prototaip, Honda berkata bahawa ia memberikan bayangan reka bentuk versi produksi yang akan diperkenalkan secara rasmi pada awal tahun hadapan. Malah, ia tidak jauh berbeza dengan imej paten Civic yang tertiris pada September lalu.
Untuk model baharu ini, Honda mengekalkan falsafah ‘Man-Maximum, Machine-Minimum’ dengan rekaan yang lebih tertumpu kepada kemudahan pengguna. Buktinya, tiang A dialihkan ke belakang manakala cermin sisi kini diletakkan pada pintu untuk memudahkan penglihatan dari dalam kabin.
Seperti yang boleh dilihat, Civic baharu menampilkan reka bentuk yang lebih matang berbanding model terdahulu (FC). Ia mempunyai gril dan lampu yang lebih nipis, manakala rekaan bampar juga lebih ringkas dan sporty dengan elemen berbentuk C dan bukaan udara bahagian tengah yang lebih besar.
Di belakang, perubahan paling signifikan adalah lampu sepit ketam yang telah digantikan dengan unit yang lebih konvensional yang mempunyai grafik berbentuk L. Model ini juga menampilkan spoiler ‘ducktail’ dan kemasan hitam di sekeliling muncung ekzos. Selain versi sedan, model generasi ke-11 juga akan ditawarkan dalam versi hatchback, serta varian sporty Si dan Type R.
Tema ringkas dan matang ini turut ditampilkan di bahagian dalam, di mana papan pemuka Civic kini hanya memuatkan tiga tombol kawalan untuk sistem pendingin hawa. Sistem infotainmen boleh diakses menerusi skrin sentuh berukuran 9 inci yang terletak di bahagian atas papan pemuka. Buat pertama kalinya juga, Civic mendapat panel instrumen digital.
Menurut Honda, mereka akan memperkenalkan beberapa sistem keselamatan aktif dan pasif baharu, rekaan beg udara baharu serta teknologi Honda Sensing yang telah dipertingkatkan.
Bukan itu sahaja, Civic baharu juga didatangkan dengan struktur badan Advanced Compatibility Engineering (ACE) yang telah dinaik taraf. Ini bukan sahaja meningkatkan perlindungan untuk penumpang dan pejalan kaki, malah menghasilkan pemanduan yang lebih baik serta pengendalian yang lebih sporty.
No Comment