Subaru Perkenal BRZ Generasi Kedua
Setelah sekian lama dinantikan peminat, Subaru BRZ generasi kedua akhirnya diperkenalkan secara rasmi. Untuk model 2022, kereta sport dua pintu itu mengekalkan resepi sebelum ini namun dengan rekaan yang lebih moden, kuasa yang lebih tinggi dan pengendalian yang lebih mantap.
Menurut Subaru, penggayaan BRZ bukan sahaja menjadikan ia kelihatan lebih agresif, malah memfokuskan kepada kecekapan aerodinamik dengan lubang ambilan udara yang rendah pada bampar hadapan serta rekaan bumbung ‘double bubble’.
Lubang udara sisi berfungsi untuk mengurangkan seretan dengan menghalakan udara dari bawah hud ke belakang, manakala sirip kecil yang terletak di belakang gerbang roda belakang meningkatkan kestabilan kenderaan pada kelajuan tinggi.
Sementara itu, rekaan ruang kabin pula lebih tertumpu kepada pemandu. Ini boleh dilihat menerusi kehadiran panel instrumen digital berukuran tujuh inci serta skrin sentuh lapan inci dengan sistem multimedia Subaru Starlink, Apple CarPlay, Android Auto, Bluetooth dan sebagainya.
Tempat duduk kekal rendah, namun penglihatan pemandu tidak terjejas kerana penggunaan keluli berkekuatan tinggi pada tiang A, B dan C yang menjadikan ia nipis tetapi kukuh.
Walaupun rata-rata peminat begitu inginkan enjin turbo, Subaru masih kekal dengan enjin aspirasi natural (NA) untuk BRZ. Namun kali ini, enjin tersebut mempunyai sesaran yang lebih tinggi iaitu 2.4-liter dan hasilnya, kuasa meningkat kepada 228 hp pada 7,000 rpm dan 249 Nm pada 3,700 rpm.
Seperti sebelum ini, Subaru menawarkan pilihan transmisi manual dan automatik enam kelajuan. Varian automatik mendapat tambahan paddle shifter, ciri pemadanan rev serta teknologi EyeSight.
Sistem Vehicle Stability Control (VSC) menyediakan lima mod berbeza untuk pemanduan di litar lumba. Ia ditala untuk membolehkan pemandu memberikan lebih input sebelum kawalan cengkaman diaktifkan. Sistem ini boleh dimatikan terus untuk memberikan kawalan sepenuhnya kepada pemandu.
Menurut Subaru, platform sedia ada dinaik taraf dengan elemen rekaan dari Subaru Global Platform (SGP), sekaligus menjadikan ia lebih tegar. Ini menyumbang kepada tindak balas yang lebih cepat, pengendalian yang lebih cepat serta cengkaman lebih tinggi semasa mengambil selekoh.
BRZ akan memasuki pasaran bermula hujung tahun hadapan. Ia dipasang di kilang Subaru di Gunma, Jepun.
No Comment