Aprilia Tuono V4, RSV4 1100 Factory (2020) Dilancarkan
Didi Resources Sdn Bhd, pengedar rasmi motosikal Aprilia di Malaysia, hari ini melancarkan dua model tahun 2020 iaitu Aprilia Tuono V4 1100 Factory dan RSV4 1100 Factory. Harga kedua-dua model tidak berubah iaitu RM121,000 untuk model naked itu dan RM159,000 untuk superbike flagship tersebut. Harga yang disebutkan adalah termasuk waranti selama dua tahun tanpa had perbatuan.
Tuono V4 secara asasnya adalah versi naked bagi RSV4 namun trim 1100 Factory membawa model ini ke satu tahap lebih tinggi dengan pelbagai kelengkapan tambahan termasuk komponen gentian karbon iaitu madgad, panel sisi dan pelindung enjin. Model ini juga didatangkan dengan grafik baharu yang sepadan dengan komponen gentian karbon tersebut.
Bercakap tentang enjin, Tuono V4 1100 Factory dikuasakan oleh enjin 1,077 cc V4 DOHC dengan 175 hp pada 11,000 rpm dan 121 Nm yang memuncak pada 9,000 rpm. Output enjin dikawal oleh pakej elektronik Aprilia Performance Ride Control (APRC) yang merangkumi Traction Control, Wheelie Control, Quickshifter, Pit Limiter dan Cornering ABS.
Selain penampilan lebih segar, model ini juga mendapat sistem suspensi boleh laras yang terdiri daripada fork terbalik Ohlins NIX di hadapan dan penyerap hentak tunggal Ohlins TTX di belakang. Kedua-duanya dikendalikan oleh sistem Smart EC 2.0.
Sementara itu, RSV4 1100 Factory pula terus menetapkan penanda aras dalam kelasnya dengan enji V4 berkuasa yang menghasilkan 217 hp pada 13,200 rpm dan 122 Nm pada 11,000 rpm. Penunggang boleh memilih antara tiga pemetaan enjin Ride-by-Wire (Sport, Race dan Track) untuk memenuhi keperluan mereka.
Dari segi spesifikasi, model ini mengekalkan sistem kawalan dinamik APRC dengan sistem suspensi boleh laras yang dibangunkan dengan kerjasama Ohlins. Cakera berkembar bersaiz 330 mm yang diapit oleh angkup monobloc empat piston Brembo Stylema membekalkan kuasa yang secukupnya.
RSV4 1100 Factory dilengkapi dengan rim aluminium aloi berukuran 17 inci yang dibalut tayar bersaiz 120/70 dan 200/55. Tempat duduk terletak pada ketinggian 840 mm dari tanah manakala tangki minyak mempunyai kapasiti 18.5 liter, menyumbang kepada berat keseluruhan 199 kg.
No Comment