McLaren Senna XP ‘Master of Monaco’ Milik Post Malone Untuk Dijual
Penyanyi rap dan penerbit terkenal Post Malone dilaporkan ingin menjual McLaren Senna XP ‘Master of Monaco’ miliknya.
Diperkenalkan pada penghujung 2019, Senna XP ‘Master of Monaco’ merupakan salah satu daripada tiga buah prototaip eksperimental Senna yang dihasilkan oleh McLaren Special Operations (MSO) untuk McLaren Beverly Hills.
Sesuai dengan namanya, jentera ini meraikan enam kemenangan Ayrton Senna di litar Monaco, di mana lima daripadanya adalah kemenangan berturut-turut yang dirangkul antara 1989 dan 1993. Dua lagi jentera Senna XP yang dihasilkan adalah ‘Home Victory’ dan ‘Lap of the Gods’.
Bahagian luaran Senna XP ‘Master of Monaco’ dihiasi dengan kemasan gentian karbon dan skema warna merah dan putih sempena bendera negara itu. Ia juga menampilkan nombor 12 pada bahagian spoiler sebagai penghormatan kepada jentera F1 yang digunakan oleh Senna semasa berlumba di Monaco.
Sementara itu, ruang dalaman tidak kurang hebatnya dengan penggunaan kemasan gentian karbon berwarna merah pada papan pemuka konsol tengah. Keeksklusifan jentera ini dipertingkatkan lagi dengan sulaman bendera Monaco dan ayat ‘Master of Monaco’ pada tempat duduk, plak ‘Master of Monaco’ serta tandatangan pelumba lagenda itu.
Jentera yang dimiliki oleh Post Malone ini jarang dipandu dan ini terbukti dengan perbatuannya yang hanya mencecah 236 km. Harga tidak dinyatakan namun Senna XP ‘Master of Monaco’ dikatakan dijual pada harga $1,435,328 (RM5.84 juta) ketika dilancarkan.
No Comment