McLaren Sabre – Model Eksklusif Untuk Pasaran Amerika Syarikat
Divisyen McLaren yang bertanggungjawab dalam penghasilan model edisi khas McLaren Special Operations (MSO) telah menghasilkan 15 unit Sabre eksklusif untuk pelanggan mereka di Amerika Syarikat.
Unit pertama telah diserahkan kepada pemiliknya oleh McLaren Beverly Hills manakala yang selebihnya akan diserahkan dalam bulan-bulan mendatang. Menurut MSO, setiap pemilik Sabre terlibat dalam proses pembangunannya. Ini termasuklah bekerjasama secara rapat dengan pereka bentuk, jurutera dan pemandu uji bagi memastikan jentera mereka mengikuti spesifikasi dan konsep yang diinginkan.
Kemuncak proses pembangunan adalah sesi ujian di litar lumba di mana pelanggan diberi peluang memandu unit pembangunan sambil dilatih oleh pemandu berpengalaman. Setelah selesai sesi tersebut, pelanggan memberikan maklum balas mereka kepada pasukan pembangunan MSO yang berada di Woking menerusi perbualan video.
Apa yang menarik, Sabre dihomologasikan khas mengikut undang-undang di Amerika Syarikat dan menampilkan “idea dan inovasi yang tidak dibenarkan oleh homologasi global”. Sebab itulah ia hanya boleh dijual di AS.
Sebahagian besar spesifikasi jentera ini juga tidak didedahkan. Apa yang diberitahu adalah Sabre dikuasakan oleh enjin 4.0 liter dwi-turbo V8 yang menghasilkan 824 hp dan 800 Nm, menjadikannya model V8 bukan hibrid yang paling berkuasa pernah dihasilkan McLaren dengan kelajuan maksimum mencecah 350 km/j.
No Comment