Kia Lancar Logo dan Slogan Baharu
Kia telah mendedahkan logo korporat baharu dan slogan jenama globalnya iaitu “Movement that inspires”, sekaligus menandakan transformasi dan cita-cita syarikat itu untuk menerajui industri mobiliti akan datang dengan merombak semula semua aspek perniagaannya.
Apa yang menarik, logo baharu tersebut didedahkan menerusi persembahan piroteknik di Incheon, Korea Selatan menggunakan 303 buah dron. Persembahan ini juga dicatatkan dalam buku Guinness World Record untuk ‘kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) terbanyak yang melancarkan bunga api secara serentak’.
Menurut Kia, logo baharu itu direka untuk menyerupai tandatangan dan garisan yang berirama dan tidak terputus bermaksud komitmen jenama itu untuk menyampaikan detik-detik inspirasi. Rekaan simetri logo itu pula melambangkan keyakinan, manakala garisan menegak adalah simbolik kepada cita-cita Kia terhadap jenamanya dan apa yang ditawarkan kepada pelanggan.
Pengenalan logo baharu ini adalah selaras dengan strategi perniagaan jangka panjang ‘Plan S’ yang diumumkan pada tahun lalu. Di bawah Plan S, Kia akan mempopularkan kenderaan elektrik dan memperkenalkan rangkaian perkhidmatan mobiliti yang dirangka untuk memenuhi permintaan individu dan pasaran tempatan.
Perincian lanjut mengenai strategi, falsafah dan aplikasi jenama baharu Kia akan dikongsikan menerusi acara digital ‘New Kia Brand Showcase’ pada 15 Januari depan.
No Comment