Mercedes-Benz Perkenal Paparan Infohibur 56-Inci MBUX Hyperscreen
Adil jika dikatakan bahawa teknologi MBUX (Mercedes-Benz User Experience) yang diperkenalkan beberapa tahun yang lalu telah meletakkan Mercedes-Benz sebagai peneraju sistem infohibur dalam segmen premium.
Kini, pengeluar kenderaan dari Jerman itu akan terus mengukuhkan kedudukan mereka dengan versi terbaru yang dikenali sebagai MBUX Hyperscreen. Ia akan ditampilkan buat kali pertama menerusi EQS yang akan dilancarkan tidak lama lagi serta model-model elektrik Mercedes-Benz akan datang.
Hyperscreen secara asasnya adalah papan pemuka digital yang dilindungi oleh lapisan kaca Corning Gorilla Glass melengkung dan dikelilingi oleh bingkai plastik. Pencahayaan ambien yang diintegrasikan pada bahagian belakang Hyperscreen membuatkan paparan berukuran 141 cm (56 inci) ini kelihatan seolah-olah timbul di atas panel instrumen.
Selain panel instrumen pemandu, penumpang juga mempunyai paparan mereka sendiri dengan tujuh profil berbeza bagi membolehkan mereka mengkustomkan kandungan sistem infohibur. Sekiranya tiada penumpang, skrin akan memaparkan corak digital Mercedes-Benz Pattern bagi tujuan perhiasan.
Menurut Mercedes-Benz, teknologi OLED digunakan bagi mendapatkan imej yang tajam dan kontras warna yang jelas, tanpa mengira sudut pandangan dan keadaan pencahayaan. Dari segi teknologi komputer pula, Hyperscreen dikuasakan oleh lapan teras CPU dan mempunyai RAM 24GB.
Selain itu, Hyperscreen turut menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang berfungsi untuk mencadangkan ciri-ciri tertentu kepada pemandu berdasarkan perubahan keadaan persekitaran dan tingkah laku mereka.
Sebagai contoh, sekiranya anda sering membuat panggilan kepada kenalan dalam perjalanan pulang pada petang Selasa, anda akan diminta untuk membuat panggilan yang sama setiap hari itu pada waktu yang sama. Cadangan ini tidak akan dibuat sekiranya kereta dipandu oleh orang lain pada waktu itu.
No Comment