Honda HR-V Dapat Paparan Audio 7 Inci, Apple CarPlay Dan Android Auto
Honda Malaysia hari ini memperkenalkan HR-V versi terbaru yang didatangkan dengan pelbagai penambahbaikan dari segi kelengkapan luaran dan dalaman.
Menurut syarikat itu, kesemua empat varian HR-V kini boleh didapati dalam warna Platinum White Pearl, manakala paparan audio berukuran tujuh inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto disertakan secara standard. Turut disertakan adalah dua port USB pada konsol tengah.
Sementara itu, HR-V Sport Hybrid i-DCD mendapat ciri-ciri tambahan berbentuk lampu LED hadapan dan belakang, lampu kabus LED pada bahagian hadapan, pemegang pintu dalam kemasan krom serta balutan kulit pada stereng.
Harga (selepas pengecualian cukai jualan) HR-V yang dipertingkatkan ini kekal pada RM104,000.21 bagi varian E; RM113,421.92 bagi varian V dan RM118,581.81 bagi varian RS. Bagaimanapun, harga HR-V Sport Hybrid i-DCD akan diumumkan tidak lama lagi.
Tahun lalu, HR-V muncul sebagai model Honda ketiga terlaris di pasaran dengan menyumbang 17% daripada jumlah jualan keseluruhan. 41% daripada pelanggan model itu mendapatkan varian V manakala 30% memilih warna Passion Red Pearl. Dengan 73% pegangan pasaran setakat November 2020, HR-V kekal sebagai SUV kompak bukan nasional nombor satu di Malaysia.
No Comment