Ini Sebabnya Tayar Slick Dan Jalan Basah Adalah ‘Resipi Bencana’
Tidak kira betapa bagusnya tayar slick di litar lumba, ia tidak direka untuk jalan raya biasa. Terdapat beberapa sebab mengapa menggunakan tayar slick pada kereta pemanduan harian adalah idea yang tidak bagus tetapi sebab nombor satu adalah ia tidak mempunyai bunga dan alur. Walaupun ini menghasilkan kawasan sentuhan yang lebih besar dan tahap cengkaman yang tinggi pada permukaan kering, tayar slick tidak mampu untuk mengeluarkan air bermakna anda akan menghadapi masalah jika memandu di dalam hujan. Mungkin inilah yang terjadi pada pemandu Perodua Viva ini.
Seperti yang anda boleh lihat, Viva ini terbalik berkemungkinan besar selepas kehilangan kawalan dan melanggar tiang besi berdekatan. Punca sebenar kemalangan tidak diketahui namun anda tidak perlu menjadi pakar untuk melihat bahawa gabungan tayar slick (pada bahagian belakang) dan permukaan jalan yang basah sedikit sebanyak telah memainkan peranan dalam kejadian yang tragis ini.
“Tetapi tayar depan nampak masih elok dan Viva adalah kereta pacuan roda hadapan, bagaimana kemalangan ini masih boleh berlaku?”
Ini merupakan satu tanggapan yang salah mengenai tayar. Tidak kiralah kereta anda itu pacuan roda hadapan, pacuan roda belakang atau pacuan semua roda, tayar belakang penting dalam memberikan kestabilan terutamanya ketika membelok atau membrek. Tidak ada gunanya mempunyai tayar baru pada bahagian hadapan apabila tayar belakang anda hampir botak. Ingat, ketiadaan cengkaman pada tayar belakang, ditambah pula dengan kecuaian dan cuaca buruk boleh mendatangkan masalah kepada anda seperti pemandu Viva ini.
Sudah tentu, tidak ada manusia yang sempurna akalnya yang ingin terlibat dalam kemalangan. Oleh itu, jadikan kemalangan ini sebagai satu peringatan bahaya menggunakan tayar slick pada kereta dan motosikal anda. Simpan sahaja tayar tersebut untuk jentera litar anda. Lagipun, tayar-tayar prestasi ultra tinggi (UHP) seperti Michelin Pilot Sport, Bridgestone Potenza, and Goodyear Eagle F1, contohnya, sudah cukup bagus untuk kereta sport anda. Lagi satu, baca artikel ini untuk tips ringkas penjagaan tayar.
No Comment