Subaru Beli 9 Juta Saham Toyota
Subaru Corporation telah mengumumkan bahawa mereka telah melengkapkan pemerolehan 8,973,700 saham bernilai kira-kira 70 bilion yen (RM2.7 bilion) dalam Toyota Motor Corporation. Perkembangan terbaru ini adalah susulan perjanjian perniagaan dan kapital yang diumumkan pada September 2019, di mana Toyota meningkatkan pegangan sahamnya dalam Subaru kepada 20%.
Kerjasama antara kedua-dua pengeluar kenderaan dari Jepun ini, yang pertama kali ditandatangani pada 2005, telah meliputi pengeluaran kenderaan Toyota oleh Subaru secara kontrak dan pembekalan kenderaan kepada Subaru oleh Toyota. Jentera RWD Toyota 86 dan Subaru BRZ juga dilahirkan menerusi kerjasama ini.
Toyota dan Subaru akan membawa perkongsian mereka ke tahap lebih tinggi dengan perjanjian untuk bersama-sama membangunkan platform kenderaan elektrik bateri (BEV), yang akan digunakan sebagai asas untuk sebuah SUV elektrik segmen C baharu. Kedua-dua syarikat juga terus membangunkan BRZ dan 86 generasi seterusnya.
Bukan itu sahaja, berikutan Crosstrek Hybrid yang dilancarkan di Amerika Syarikat pada Disember tahun lalu, Subaru akan terus memperluaskan penggunaan sistem hibrid Toyota dalam model-modelnya yang lain. Akhir sekali, kedua-dua syarikat juga akan berganding bahu dalam bidang kereta terhubung dan kerjasama teknikal pemanduan autonomi.
No Comment