BMW i4 Dalam Fasa Ujian Dinamik Terakhir
BMW telah menyiarkan gambar-gambar serta video terkini model elektrik terbarunya iaitu i4. Ia kini sedang menjalani fasa terakhir ujian dinamik dan akan diperkenalkan sepenuhnya dalam masa beberapa bulan akan datang.
Daripada ujian musim sejuk yang dilakukan pada November 2019, kami tahu bahawa model tersebut bakal hadir dengan 530 hp (390 kW) yang membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa empat saat. Kami juga tahu bahawa pek bateri voltan tinggi berkapasiti 80 kWj memberikan kereta itu jarak pemanduan sehingga 600 km.
Menurut BMW, i4 akan dilengkapi dengan peredam spesifik yang ditugaskan untuk mengurangkan pergerakan badan di selekoh. Sementara itu, ‘wheel slip limitation’ atau ARB membekalkan cengkaman optimum dan kestabilan terutamanya di atas permukaan jalan yang licin. Pengendalian yang tepat serta pemanduan jarak jauh yang santai pula dilakukan dengan bantuan stereng kuasa Servotronic.
Tambah BWM lagi, jarak tapak roda yang panjang, badan yang lebar, tayar yang besar, casis yang tegar serta pusat graviti yang rendah menjadikan i4 sangat lincah dan responsif. Ia juga boleh melakukan aksi drift seperti yang ditunjukkan dalam video ini.
Dari segi penampilan, i4 dijangka hadir dengan reka bentuk yang tajam dan bersegi seperti yang dipertontonkan menerusi Concept i4 namun dengan sedikit pengubahsuaian.
No Comment