Motosikal / Skuter / Roda

Triumph Speed Triple 1200 RS Pesaing Terbaharu Segmen Hypernaked

Triumph Motorcycles memulakan tahun baharu 2021 dengan penuh bergaya dengan pelancaran Speed Triple 1200 RS, yang telah direka sepenuhnya dari mula bagi menyaingi model ‘naked’ yang lain seperti Ducati Streetfighter V4, BMW S1000R dan Aprilia Tuono V4 1100.

Ciri utama yang diketengahkan oleh Speed Triple 1200 RS adalah enjin 1,160 cc tiga silinder baharu yang mampu menghasilkan 180 PS pada 10,750 rpm dan 125 Nm tork pada 9,000 rpm. Dibangunkan dengan pengetahuan yang diperoleh dari program enjin Moto2 Triumph, enjin tersebut bukan sahaja lebih responsif, malah 7 kg lebih ringan berbanding enjin Speed Triple yang terdahulu.

Speed Triple 1200 RS baharu ini juga dikatakan sebagai model Speed Triple dengan bunyi yang terbaik, terima kasih kepada sistem ambilan udara dan ekzos baharu. Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi enam kelajuan yang menjanjikan penukaran gear yang lebih lancar.

Selain itu, Triumph turut menggunakan rangka aluminium tempaan terbaharu yang lebih ringan sebanyak 17%. Rangka tersebut dipadankan dengan fork terbalik Öhlins NIX30 pada bahagian hadapan dan monoshock tiub berkembar Öhlins TTX36 pada bahagian belakang. Bar hendal yang lebih lebar, kedudukan tempat letak kaki dan rekaan pelan baharu pula memberikan ergonomik dan posisi menunggang yang lebih baik.

Kuasa membrek dibekalkan oleh angkup monoblock Brembo Stylema dengan cakera berkembar bersaiz 320 mm di hadapan dan angkup tunggal Brembo di belakang. Sementara itu, tayar standard yang digunakan adalah Metzeler Racetec RR. Triumph turut menawarkan tayar Pirelli Diablo Supercorsa SC2 untuk mereka yang ingin beraksi di litar lumba.

Bukan itu sahaja, Speed Triple 1200 RS juga mendapat manfaat daripada pelbagai teknologi terkini seperti paparan instrumen TFT berukuran lima inci dengan sistem Triumph Connectivity sebagai standard, Quickshifter Shift Assist, lampu LED serta sistem tanpa kunci.

Sistem elektronik pula terdiri daripada Optimised Cornering ABS, Cruise Control, Optimised Cornering Traction Control dengan unit pengukuran inersia (IMU) dan lima mod tunggangan iaitu Rain, Road, Sport, Track dan Rider.

Menurut Triumph, model ini akan tiba ke pengedarnya bermula akhir Februari tahun ini. Ia ditawarkan pada harga £15,100 (RM83,723).

Previous post

Ford Menutup Kilang Amerika Selatannya di Brazil

Next post

BMW M5 CS Hadir Dengan 635 HP

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *